Campur tangan politik dalam perolehan kini jenayah, kata Pemuda PKR

Campur tangan politik dalam perolehan kini jenayah, kata Pemuda PKR

Biro Undang-undang dan Aduan Awam Pemuda PKR berkata individu disabitkan bersalah boleh didenda hingga RM500,000 atau dihukum penjara hingga lima tahun.

Khairul Naim Rafidi
Khairul Naim Rafidi dari Biro Undang-undang dan Aduan Awam Pemuda PKR berkata RUU Perolehan Kerajaan meningkatkan pemantauan ke atas projek mega. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang diluluskan baru-baru ini memperuntukkan campur tangan politik satu kesalahan jenayah dan keputusan pembelian kerajaan boleh dicabar, kata Pemuda PKR ketika berdepan kritikan kumpulan antirasuah.

Ketua Biro Undang-undang dan Aduan Awam Pemuda PKR, Khairul Naim Rafidi, berkata individu yang didapati bersalah kerana campur tangan politik berisiko didenda maksimum RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun.

Katanya, RUU itu turut mewajibkan pemantauan lebih ketat ke atas projek mega, tender terbuka untuk kontrak, pengisytiharan konflik kepentingan dan pmbekal perlu mendaftar.

“Butiran ini akan disiarkan di portal MyProcurement,” katanya dalam kenyataan.

Khairul ketika menolak dakwaan tribunal rayuan dicadangkan tidak bebas berkata: “Tribunal ini memperkenalkan mekanisme semakan formal tidak pernah wujud, di mana pihak boleh mencabar keputusan perolehan dalam kerangka undang-undang jelas.”

Beliau menolak dakwaan RUU itu diluluskan secara tergesa-gesa di Dewan Rakyat.

Menurutnya, cadangan undang-undang itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 dan melalui perbincangan meluas membabitkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta pelbagai agensi sebelum dibentangkan secara rasmi.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme mengkritik RUU itu memberi budi bicara berlebihan kepada menteri dan mewujudkan konflik kepentingan ketara.

Katanya, tribunal rayuan dan proses rayuan yang diperkenalkan RUU itu berada bawah pengaruh langsung menteri kewangan.

RUU itu dibentangkan 25 Ogos lalu dan diluluskan Dewan Rakyat kelmarin, walaupun Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan dan masyarakat sivil menggesa ia ditangguh dan ditambah baik.

Ia akan dibentangkan di Dewan Negara untuk mendapat kelulusan, tetapi perlu mendapat perkenan Agong sebelum diwartakan sebagai undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.