Belanjawan 2025 ‘tanpa projek mega’ bantu tingkat ekonomi rakyat

Belanjawan 2025 ‘tanpa projek mega’ bantu tingkat ekonomi rakyat

Penganalisis Abu Sufian Yaacob berkata wajar bagi kerajaan beri fokus pada kenaikan pendapatan terutama golongan B40.

Penganalisis berkata apabila pendapatan rakyat tinggi mereka akan dapat berbelanja lebih sekali gus bantu meningkatkan ekonomi negara.
PETALING JAYA:
Penganalisis ekonomi menyifatkan langkah kerajaan beralih dari ‘projek mega’ kepada inisiatif meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat dalam Belanjawan 2025 amat wajar bagi membantu ekonomi rakyat untuk jangka masa panjang.

Abu Sufian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan berkata, tiada keperluan untuk membina projek mega pada masa ini memandangkan kebanyakan projek seumpama masih dalam peringkat pembinaan dan masih memerlukan masa setahun dua lagi untuk disiapkan.

Katanya, adalah lebih baik kerajaan menumpukan perhatian pada peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat supaya dapat mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Pendapatan bersih yang boleh dibelanjakan oleh rakyat masih sama, dengan kenaikan harga barang dan inflasi. Maka kerajaan wajar memberi fokus kepada kenaikan pendapatan terutama bagi golongan B40 yang masih ramai berada di bawah garis kemiskinan sedia ada.

“Apabila pendapatan rakyat naik atau menjadi tinggi, mereka akan dapat berbelanja lebih. Ini secara langsung membantu meningkatkan ekonomi negara berdasarkan kitaran wang dalam negara. Maka semua sektor akan mendapat manfaat,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Ida Yassin daripada Putra Business School menyambut baik belanjawan kali ini meskipun ia tidak beri penumpuan pada projek mega sebagaimana tahun 2023 dan 2024.

Beliau berkata, ia terdiri daripada perbelanjaan mengurus termasuk subsidi dan bantuan sosial serta perbelanjaan pembangunan yang merangkumi ekonomi, sosial dan keselamatan.

“Mungkin hanya tahun 2025 (kerajaan) tidak memperuntuk bajet untuk projek mega, tetapi pada tahun-tahun seterusnya pertimbang semula bagi meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK).

“Ini boleh membantu menjana ekonomi negara pada masa depan, maka ia dilihat suatu pelaburan jangka masa panjang,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lalu mengumumkan kerajaan akan menumpukan pada prasarana dan projek berkepentingan rakyat serta menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Anwar menegaskan bahawa sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.