Projek mega dijangka terus sokong pertumbuhan ekonomi pada 2025

Projek mega dijangka terus sokong pertumbuhan ekonomi pada 2025

Projek mega yang sedang berjalan dilihat akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, menurut BNM.

Kuala Lumpur skyline
Kerajaan tarik pelaburan berjumlah RM330 bilion pada 2023 dan RM160 bilion pada separuh pertama 2024, kata BNM. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Meskipun tiada pembangunan projek mega diumumkan pada Belanjawan 2025, projek mega yang sedang berjalan dilihat akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata kerajaan menarik pelaburan berjumlah RM330 bilion ke dalam negara pada 2023 dan RM160 bilion pada separuh pertama 2024, yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025.

“Ini memberikan impak yang baik, apabila kita melihat pelaburan masuk ke bidang berkualiti tinggi, mewujudkan aktiviti nilai tambah tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya pada sidang akhbar mengenai data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 bersama Jabatan Perangkaan.

Rasheed berkata pelaburan yang masuk itu juga menyokong pengukuhan pendapatan domestik yang akan meningkatkan kekompleksan ekonomi.

Prospek pertumbuhan Malaysia juga dilihat cerah, disokong oleh asas kukuh dan dorongan pertumbuhannya, katanya.

Ini termasuk peningkatan kadar pekerjaan dan langkah untuk meningkatkan pendapatan termasuk pelaksanaan dasar gaji minimum.

“Dari segi eksport, Malaysia masih lagi bergantung kepada rantaian bekalan dan nilai global, termasuk elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E,” kata Rasheed.

Negara juga mendapat mendapat manfaat daripada pertumbuhan teknologi global, manakala perbelanjaan pelancong juga meningkat melebihi tahap sebelum pandemik.

Selain itu, Malaysia melaksanakan langkah-langkah yang berkaitan seperti reformasi fiskal dan pasaran buruh yang akan menyumbang kepada pengukuhan asas negara, katanya.

Kesan kemenangan Trump

Berhubung kemenangan Trump sebagai presiden Amerika Syarikat, Malaysia mengambil langkah tunggu dan lihat corak pentadbiran pada penggal keduanya.

“Kita perlu melihat dengan lebih jelas dasar-dasar yang akan dilaksanakan, barulah kita akan dapat membuat penilaian. Kita tidak akan membuat spekulasi pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata ketika pentadbiran Trump antara 2017 dan 2021, ekonomi Malaysia stabil pada ketika itu, malah antara 2017 dan 2019, kadar KDNK meningkat sebanyak 10% dan eksport naik kira-kira 8.0%.

“Ringgit juga meningkat kira-kira 8.0% selepas mencatatkan prestasi turun naik pada awalnya. Jadi, kita boleh menjangkakan keadaan yang sama juga berlaku seperti sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.