SPR mula mesyuarat, bincang tarikh penamaan calon, PRU15

SPR mula mesyuarat, bincang tarikh penamaan calon, PRU15

SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian sejurus selepas mesyuarat berakhir tengah hari nanti.

SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Ismail Sabri Yaakob pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kepada PRU15.
PUTRAJAYA:
Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 10.05 pagi ini bagi menentukan tarikh penting pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tarikh pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat khas itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh itu dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam.

Sejurus selepas mesyuarat yang dijadual berakhir 12 tengah hari itu, SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan untuk melaksanakan PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha Ikmalrudin Ishak, ahli-ahli SPR iaitu Chin Phaik Yoong, Zoey Randhawa, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, Awang Sahari EM Nadzeer dan Nik Ali Mat Yunus, serta pegawai-pegawai kanan SPR.

Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan, iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak, kerana belum mencapai tempoh matang.

Tiga negeri ditadbir PAS, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta tiga negeri bawah Pakatan Harapan, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU15.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara, kecuali Sarawak, dijalankan secara serentak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.