
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, berkata laporan media, semalam, yang mengaitkan penculikan itu dengan agensi perisikan Israel, Mossad, mengganggu siasatan dilakukan pihak berkuasa.
“Siasatan berhubung perkara itu masih berjalan. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada berlaku pembabitan agensi asing,” katanya ketika ditanya sama ada benar Mossad terlibat.
“Jadi, bila timbul spekulasi seperti ini, ia mengganggu siasatan kami.
“Saya tidak tahu bagaimana tuduhan itu muncul dan saya tidak tahu di mana mereka (media itu) dapat (maklumat),” katanya kepada media ketika ditemui pada satu majlis, di sini.
Semalam, The New Straits Times, melaporkan Mossad merekrut ejen tempatan untuk menculik warga Palestin yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas.
Minggu lalu, 11 individu, termasuk wanita berdepan tuduhan kerana menculik mangsa.
Kesemua mereka dituduh bersama kerana menculik lelaki warga Palestin, di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, pada 28, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Azmi menyatakan kekecewaan berhubung nama beberapa saksi diterbitkan dalam talian, sambil menjelaskan tindakan itu akan menjadikan siasatan semakin terjejas.
Katanya, skop siasatan kini untuk mengesan sebarang pembabitan mana-mana agensi asing terlibat dalam insiden berkenaan.
Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi terhadap kes itu yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.
Polis masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes, pada 15 Dis.