IJM tegaskan tak dimaklum siasatan rasuah oleh UK

IJM tegaskan tak dimaklum siasatan rasuah oleh UK

Syarikat itu menafikan dakwaan wujudnya pengubahan wang haram sambil berkata pengerusinya Krishnan Tan dan pegawai lain bekerjasama penuh dengan SPRM.

WISMA IJM BUILDING
IJM Corp Bhd berkata ia akan beroperasi seperti biasa manakala sebarang perkembangan akan diumumkan melalui Bursa Malaysia.
PETALING JAYA:
IJM Corp Bhd menegaskan bahawa syarikat itu tidak mengetahui sebarang siasatan berkaitan rasuah atau pengubahan wang haram yang sedang dijalankan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) terhadap syarikat berkenaan.

IJM menegaskan bahawa syarikat itu serta sekutu-sekutunya di United Kingdom tidak dimaklumkan mengenai sebarang siasatan berkenaan. “Kami tidak pernah dihubungi dan sebarang laporan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat,” katanya.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu turut menafikan dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dua individu yang mempunyai hubungan dengan IJM, termasuk pengerusinya, Krishnan Tan.

Menurut kenyataan itu, Tan telah bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, begitu juga kakitangan syarikat lain yang diminta memberikan maklumat kepada agensi antirasuah berkenaan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa individu yang dirujuk dalam laporan sebagai ‘penasihat’ IJM sebelum ini hanya dilantik secara profesional untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan sejumlah terhad urus niaga korporat,” katanya.

IJM turut memaklumkan bahawa pelaburannya di UK sebahagian besarnya dibiayai melalui kemudahan kewangan yang diperoleh daripada institusi kewangan di Malaysia, dengan dana tersebut disalurkan kepada syarikat tujuan khas berkaitan di UK.

“Pelaburan-pelaburan ini telah melalui proses penilaian perniagaan serta tadbir urus dalaman syarikat yang sedia ada. IJM kekal komited untuk menegakkan standard tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang tinggi.

“Operasi perniagaan berjalan seperti biasa. Sebarang perkembangan akan diumumkan melalui Bursa Malaysia selaras dengan keperluan pendedahan,” katanya.

Terdahulu, SPRM memanggil sembilan individu, termasuk dua eksekutif kanan IJM, untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion. Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata masih terlalu awal untuk mengulas dakwaan salah laku tersebut memandangkan agensi itu memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan, khususnya kerana kes berkenaan melibatkan isu korporat dan siasatan hanya bermula semalam.

Semalam dilaporkan dua pegawai IJM telah dikenal pasti oleh SPRM sebagai ‘individu berkepentingan’ dalam siasatan tersebut.

SFO UK dilaporkan sedang menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan kedua-dua individu itu.

SPRM juga dilaporkan sedang menyiasat kemungkinan manipulasi harga saham berkaitan kes pengubahan wang haram berkenaan, yang berpotensi menjejaskan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Bhd menerusi urus niaga tunai dan saham bernilai lebih RM11 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.