Jangan panik latihan di Empangan Kenyir, Nadma beritahu orang awam

Jangan panik latihan di Empangan Kenyir, Nadma beritahu orang awam

Nadma berkata latih amal bermula 26 Sept lalu pernah diadakan di Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir demi memastikan agensi kerajaan dan anggota komuniti siap siaga. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Orang awam dinasihatkan tidak panik dan terpengaruh dengan sebarang khabar angin mungkin tersebar di media sosial berhubung Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir, pada 26 hingga 29 Sept lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan berkata, program melibatkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti itu bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sekiranya berhadapan dengan bencana berada pada tahap optimum.

“Nadma selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal bagi meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.

“Semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi. Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” katanya menurut Bernama.

Nadma memaklumkan, latih amal sama pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands dan beberapa empangan lain.

“Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah. Latih amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana,” katanya.

Menurutnya, latih amal turut dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat, menambahbaik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.