
Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 44 mangsa daripada 16 keluarga di Sipitang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Mini Mesapol.
“Lima kampung terjejas banjir yang melanda lewat petang semalam dan penduduk dipindahkan sejak tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu.
Di Kedah, jumlah mangsa kembali meningkat dengan Kota Setar menjadi daerah terbaru dilanda banjir.
JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,281 orang daripada 372 keluarga pagi tadi berbanding 1,169 orang daripada 329 keluarga malam tadi.
“Semua mangsa dari enam daerah, iaitu Kota Setar, Kulim, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Padang Terap ditempatkan di 10 PPS.
“Di Kota Setar, 225 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang dibuka 9.30 malam tadi, manakala Kulim kekal dengan jumlah mangsa tertinggi 554 orang daripada 163 keluarga di empat PPS, diikuti Pendang dengan 330 orang daripada 90 keluarga di dua PPS.”
Pokok Sena pula merekodkan 136 mangsa daripada 39 keluarga di sebuah PPS, 23 mangsa daripada 11 keluarga di sebuah PPS Kubang Pasu, manakala di Padang Terap, 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di sebuah PPS.
Laman sesawang Public Infobanjir memaklumkan tiga sungai di Kedah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.55m), Sungai Titi Kerbau di Pendang (6.31m) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (4.12m).
Situasi di Pulau Pinang semakin pulih dengan 411 mangsa banjir daripada 108 keluarga pagi tadi berbanding 646 mangsa daripada 179 keluarga semalam.
Berdasarkan kemas kini di laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 7.20 pagi tadi, 392 mangsa di empat PPS Seberang Perai Utara, iaitu di SK Lahar Yooi (154 mangsa, 41 keluarga) dan pusat penempatan banjir Labuh Banting (114 mangsa, 31 keluarga).
SK Padang Menora pula menempatkan 78 mangsa daripada 21 keluarga dan 46 mangsa daripada sembilan keluarga di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nyior Sebatang, manakala 19 mangsa daripada empat keluarga di SK Guar Perahu yang juga satu-satunya PPS masih beroperasi di daerah Seberang Perai Tengah.
Di Perak, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,129 orang daripada 362 keluarga berbanding 1,158 orang daripada 375 keluarga malam tadi di 12 PPS di empat daerah.
Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Larut, Matang dan Selama merekodkan 361 orang daripada 113 keluarga di Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang, SK Matang dan Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13.
Di Manjung, lima PPS masih beroperasi di SK Sungai Batu, SAR Padang Serai, SK Beruas, SK Pantai Remis dan SK Gangga yang menempatkan 510 mangsa daripada 172 keluarga.
Jumlah mangsa di sebuah PPS di Perak Tengah kekal 110 orang daripada 31 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-layang Kiri, Parit, manakala di Kerian dengan 148 orang daripada 46 keluarga di dua PPS Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.