Mesyuarat ‘Top 5’ Umno capai kesepakatan, kata Tok Mat

Mesyuarat ‘Top 5’ Umno capai kesepakatan, kata Tok Mat

Sebelum ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan mesyuarat 'Top 5' kali ini akan membincangkan tarikh PRU15.

Lima pimpinan tertinggi Umno mengadakan mesyuarat di Menara Dato Onn, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini. (Gambar Facebook Khaled Nordin)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat lima pemimpin utama Umno yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini, mencapai kesepakatan, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama kepimpinan ‘Top 5’ parti tengah hari tadi berlangsung dengan baik.

“Dapat capai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak ke hadapan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat di Facebook.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai “kesepakatan yang dicapai” itu.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin ketika ditemui berkata hasil mesyuarat kepimpinan tertinggi itu akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk diputuskan.

Ditanya berkaitan perkara dibincangkan, Khaled hanya memberi respons ringkas “bincang macam-macam hal”.

Khaled dalam hantaran di Facebooknya turut berkongsi gambar mesyuarat pemimpin utama parti itu yang dihadiri Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad.

Selain Khaled, mesyuarat itu turut dihadiri dua naib presiden, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid.

Sebelum ini, Ismail tidak menolak kemungkinan mesyuarat “Top 5” kali ini akan membincangkan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, di lobi utama Menara Dato Onn turut kelihatan beberapa pemimpin Umno mula tiba antaranya Ketua Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Umno Terengganu Ahmad Said dan Ketua Umno Perak Saarani Mohamad.

Mesyuarat MKT Umno berlangsung malam ini.

Pengamal media mula berkumpul di Menara Dato Onn sejak 2 petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.