BN terbuka jika MIC keluar gabungan, kata Zahid

BN terbuka jika MIC keluar gabungan, kata Zahid

Pengerusi BN berkata tidak ada paksaan sama ada parti masuk atau keluar gabungan.

ahmad zahid hamidi
Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya terbuka dengan apa jua keputusan dibuat kepimpinan MIC. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Tindakan sesebuah parti politik tidak menjemput pemimpin parti lain menghadiri mesyuarat agung parti berkenaan bukan suatu perkara baharu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi.

‎Beliau berkata, keputusan MIC tidak menjemput beliau atau mana-mana pemimpin parti lain termasuk daripada BN mungkin kerana kepimpinan tertinggi dan ahlinya mahu memberikan fokus untuk menyelesaikan beberapa isu penting berbangkit yang melibatkan parti itu.

“AGM kali ini mereka mahu menyelesaikan masalah dalaman mereka, tentunya kami beri ruang seluas-luasnya untuk mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya semasa ditemui pada Ekspo Industri Sukan Asean 2025.

‎Ditanya jika BN bersedia sekiranya MIC memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pihaknya terbuka dengan apa jua keputusan dibuat kepimpinan MIC.

“Kami terbuka, dulu kami ada 14 parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan sama ada untuk masuk atau keluar. Jadi, tentunya mereka akan buat sesuatu keputusan yang bijak bagi menentukan gabungan mana yang mereka akan sertai asalkan mereka tidak menyesal kemudian hari,” katanya.

‎Presiden MIC SA Vigneswaran dilaporkan berkata sebelum ini parti itu tidak akan menjemput mana-mana pemimpin parti lain termasuk BN pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), akan diadakan pada 16 Nov depan.

‎Beliau berkata ia berikutan mesyuarat itu akan diadakan hanya selama sehari dan memfokuskan kepada hal dalaman parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.