
Beliau berkata MIC tidak wajar menuduh Zahid sebagai sombong, sebaliknya perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab sebagai komponen BN dengan hadir ke mesyuarat dan berhujah secara terbuka.
“Kalau MIC rasa dirinya betul dan masih anggota BN, datanglah ke mesyuarat tersebut. Beri penjelasan dan pertahankan diri,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MIC Nelson Renganathan bahawa Zahid mungkin sedang ‘bermimpi’ jika percaya BN mampu bertahan selamanya dalam keadaan sekarang.
Renganathan berkata, MIC ‘berbesar hati’ berkongsi visi evolusinya dengan rakan kongsi BN, namun menggambarkan ‘ego Zahid menghalang perbincangan bermakna’.
Pada Perhimpunan Agung Tahunan bulan lalu, perwakilan MIC putus untuk tangguh keputusan sama ada mahu meninggalkan atau kekal dalam BN, dengan Presiden SA Vigneswaran mengesahkan semua usul, termasuk usul keluar BN, yang akan dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat bagi pertimbangan.
Minggu lalu, Zahid berkata status MIC akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN tahun hadapan, namun kemudian memberi amaran BN akan menentukan nasib MIC jika parti itu masih tidak dapat menentukan masa depan dalam komponen berkenaan.
Mengulas lanjut, Puad berkata isu berkaitan MIC wajar dibincangkan dalam mesyuarat BN kerana parti itu ‘tidak berdisiplin’ dan sering berdolak-dalik dalam membuat keputusan politik.
“MIC memang wajar diberi kata dua. Betul kata Zahid, MIC ‘siang cakap lain, malam cakap lain’,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan MIC bahawa Umno tidak membantu parti itu mendapatkan undi, dengan merujuk kemenangan parti tersebut di kerusi Tenggaroh, Mersing.
“Kalau begitu bagaimana MIC boleh menang di Tenggaroh? Berapa kerat sangat pengundi India dan ahli MIC di Tenggaroh,” katanya.
Menurut Puad, MIC kini kelihatan tidak mempunyai pendirian jelas kerana Jawatankuasa Pusat parti itu masih belum membuat keputusan muktamad mengenai keluar atau kekal dalam BN.
“Kenapa sampai sekarang Jawatankuasa Pusat MIC tidak berani buat keputusan keluar BN? Apakah MIC menyesal buat ugutan awal untuk keluar BN?” katanya.
Beliau mendakwa MIC kini tersepit selepas melihat perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) dan prestasi gabungan itu, termasuk hanya memenangi satu kerusi pada PRN Sabah.
“Rupanya PN indah khabar dari rupa. Jadi kenapa mahu masuk lubang buaya?” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata beliau akan menggunakan platform mesyuarat Dewan Tertinggi BN untuk memberi pandangan.
“Saya dalam Dewan Tertinggi BN, jadi biar saya guna platform itu untuk beri pandangan,” katanya ringkas.