Warga kota sambut baik pelawaan Shahidan untuk bincang pelan tebatan banjir

Warga kota sambut baik pelawaan Shahidan untuk bincang pelan tebatan banjir

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili penduduk berkata, pihaknya sedia menganjurkan perjumpaan bersama menteri itu dalam satu atau dua minggu lagi.

Lapan penduduk mengancam untuk menyaman Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim dan DBKL bagi meminta maklumat terperinci mengenai langkah tebatan banjir di ibu kota. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam yang mewakili lapan penduduk merancang untuk menyaman Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kekurangan maklumat mengenai pelan tebatan banjir di ibu kota, menyambut baik kesediaan menteri itu untuk berjumpa mereka.

Dalam sepucuk surat kepada Shahidan hari ini, Lim Wei Jiet berkata, firma guamannya bersedia menganjurkan perjumpaan antara anak guamnya, penduduk lain serta Shahidan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Ini akan menyediakan ruang untuk kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dua hala mengenai maklumat yang diminta dalam surat kami pada 19 Sept lalu dan juga langkah tebatan banjir lain.

“Kami percaya penting untuk perbincangan ini dilakukan secara terbuka di khalayak ramai kerana semua orang berhak dapat maklumat sedemikian.”

Lim berharap Kementerian Wilayah Persekutuan atau DBKL dapat menyediakan lokasi untuk perjumpaan itu dan anak guamnya serta warga kota lain memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk membuat persediaan.

Shahidan mempelawa kumpulan penduduk itu bertemu, selepas Lim pada minggu lalu berkata, penduduk yang diketuai bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan akan menyaman beliau dan DBKL untuk memberikan maklumat terperinci mengenai langkah tebatan banjir di Kuala Lumpur.

DBKL dalam maklum balas terhadap surat awal kumpulan itu yang meminta maklumat berkata, ia sudah mendedahkan pelan tindakan banjir kilat untuk tahun ini pada 9 Mei lalu dan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengurangkan banjir berdasarkan pelan berkenaan.

Bagaimanapun, Lim berkata, tindakan itu sudah “lapuk” dan tidak mengandungi maklumat terperinci mencukupi berhubung strategi tebatan banjir DBKL.

Hari ini, Lim turut menolak dakwaan Shahidan bahawa kumpulan penduduk itu mahu menyamannya dan DBKL demi publisiti. Katanya, mereka hanya mendesak untuk ketelusan dan maklumat mengenai status strategi tebatan banjir DBKL.

“Hanya dengan maklumat, dasar awam boleh diteliti dan ditambah baik, dan ini akan mengurangkan kesan banjir pada akhir tahun terhadap berjuta-juta penduduk Kuala Lumpur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.