Pengasas PKIPN ‘tak gentar’, sedia hadapi Adun Kota Kemuning di mahkamah

Pengasas PKIPN ‘tak gentar’, sedia hadapi Adun Kota Kemuning di mahkamah

Susulan dakwaan beliau bertindak agresif, Joseph Prakash minta S Preakas kemuka bukti.

Pengasas PKIPN Joseph Prakash (duduk, tiga dari kiri) bersama peniaga Deepavali yang didakwa ditindas, pada sidang media di Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash bersedia berdepan saman yang difailkan oleh Adun Kota Kemuning S Preakas selepas dituduh bertindak agresif dan menyebarkan dakwaan palsu.

Joseph berkata, beliau tidak gentar dengan saman itu kerana mempunyai bukti telah dilayan kasar oleh Preakas sebelum bertindak balas dalam satu pertemuan antara mereka pada Selasa lepas.

“Saya minta beliau kemukakan bukti yang ada kalau (benar) saya yang mulakan dulu. Pejabatnya ada CCTV, beliau boleh tunjuk,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Shah Alam.

“Tidak sepatutnya seorang Adun yang mewakili rakyat melayan (kami) dengan kasar dan menghalau saya yang datang bersama peniaga yang ditindas. Kita jumpa di mahkamah.”

Pada Rabu, Preakas berkata, beliau akan menyaman Joseph yang dituduh menceroboh pusat khidmatnya, melemparkan kata-kata kesat dan menyebarkan dakwaan palsu mengenai dirinya di media sosial.

Preakas mendakwa, pada 1 Nov, Joseph bersama beberapa individu lain mengganggu persiapan rumah terbuka Deepavali untuk kawasan Kota Kemuning dan menuduh beliau menipu para peniaga Deepavali.

Berhubung dakwaan itu, Joseph menjelaskan tindakannya sebelum ini bukan untuk mengganggu persiapan Deepavali tersebut, sebaliknya ingin membuat aduan berhubung penindasan yang didakwa berlaku terhadap peniaga Deepavali di kawasan itu.

Beliau berkata, pertemuan di pejabat Preakas itu juga bagi meminta menjelaskan isu peniaga Deepavali terbabit yang menanggung kerugian.

“Tetapi apa yang kami dapat, malah dihalau. Jadi saya nak beritahu saya tidak takut dan sedia berjumpa di mahkamah.”

“Ini bagi mendapatkan keadilan bagi semua peniaga Deepavali yang telah ditindas di DUN Kemuning,” katanya.

Joseph turut memaklumkan sehingga kini belum menerima sebarang syarat saman daripada Preakas, namun pasukan peguamnya sudah bersedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.