Kerajaan digesa tingkat dana Program Dwibahasa

Kerajaan digesa tingkat dana Program Dwibahasa

Peruntukan juga perlu diberikan dalam Bajet 2023 untuk melatih guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris serta Melayu, kata kumpulan ibu bapa.

DLP diperkenalkan pada 2016 untuk memberi murid pilihan mempelajari mata pelajaran tertentu dalam bahasa Inggeris dan Melayu.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan aktivis menggesa kerajaan menajamkan fokus terhadap Program Dwibahasa (DLP) bagi merangsang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, peruntukan juga perlu diberikan dalam Bajet 2023 untuk melatih guru-guru bagi mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris serta Melayu.

“Kementerian pendidikan telah berjanji untuk melatih guru matematik dan sains supaya mahir dalam kedua-dua bahasa. Jika ini dilaksanakan, pasti sudah ada peningkatan ketara dalam bilangan sekolah DLP.

“Sebaliknya, kementerian hanya berdiam diri,” katanya sambil menegaskan bahawa fokus berterusan diperlukan untuk meningkatkan jumlah sekolah yang menawarkan DLP.

DLP berdepan pelbagai halangan sejak diperkenalkan pada 2016 untuk memberi murid pilihan mempelajari mata pelajaran tertentu dalam bahasa Inggeris. Program itu dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih, dan penempatan dikatakan terhad manakala guru yang berkelayakan juga kurang.

Noor Azimah juga berkata, kerajaan perlu meletakkan bajet untuk pendidikan sains berasaskan inkuiri bagi memastikan guru-guru menerima latihan secara berterusan, supaya proses pengajaran bersifat amali, menyeronokkan dan efektif.

Seorang lagi ketua pertubuhan ibu bapa berkata, peruntukan sedia ada untuk sektor pendidikan mencukupi, namun masalah utama dihadapi di sekolah-sekolah ialah kerenah birokrasi.

Mak Chee Kin dari Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) berkata, sekolah-sekolah perlu menyerahkan kertas kerja kepada jabatan pendidikan untuk disampaikan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Banyak sekolah tidak menerima peruntukan walaupun telah menyerahkan dokumen diperlukan. Kementerian perlu mengurangkan birokrasi dan menyalurkan peruntukan berkenaan terus kepada sekolah terlibat,” katanya.

Menurutnya, penelitian jabatan pendidikan sepatutnya hanya dibuat terhadap projek yang melibatkan kos RM50,000 ke atas.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, pihaknya berharap bajet akan memfokuskan terhadap prasarana sekolah yang terabai.

Beliau mencadangkan dana ditambah untuk penyenggaraan sekolah untuk memastikan keselesaan serta keselamatan kakitangan dan pelajar.

“NUTP juga berharap peningkatan bantuan kewangan bagi makanan, pengangkutan dan alat bantuan pengajaran,” katanya.

Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.