Kes hak penjagaan anak: Polis masih jejak Muhammad Riduan Abdullah

Kes hak penjagaan anak: Polis masih jejak Muhammad Riduan Abdullah

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan ketua polis negara menangkapnya kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isteri.

Muhammad Riduan Abdullah sebelum ini secara sepihak menukar agama anaknya tanpa persetujuan serta pengetahuan bekas isterinya Indira Gandhi yang dikahwini, pada 1993.
IPOH:
Polis masih berusaha mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan waran pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh, pada 30 Mei 2014 berhubung hak penjagaan anak.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan dalam kenyataan, berkata polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat Muhammad Riduan Abdullah, 53, yang beralamat di Persiaran Pegoh Dua, Off Jalan Pasir Puteh, supaya tampil membantu polis bagi mengesannya.

Muhammad Riduan Abdullah yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan memeluk Islam pada 2009 dan meninggalkan rumah di Ipoh bersama anak perempuannya, Prasana Diksa yang ketika itu berusia 11 bulan.

Dua hari kemudian dia secara sepihak menukar agama anaknya tanpa persetujuan serta pengetahuan bekas isterinya Indira Gandhi yang dikahwini, pada 1993.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya di samping memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya, dan pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan ketua polis negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.