‘Kami akan cari kamu’, polis beritahu ketua geng ‘Captain Praba’

‘Kami akan cari kamu’, polis beritahu ketua geng ‘Captain Praba’

Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar berkata saki-baki anggota kumpulan itu dipercayai lari ke luar negara ikut laluan tikus.

m kumar jsj batu caves
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata pihak berkuasa akan terus buru saki-baki dan ketua kumpulan geng ‘Captain Praba’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis tidak akan berhenti memburu sehingga ketua dan dalang utama kumpulan jenayah dikenali sebagai geng ‘Captain Praba’, yang dipercayai melarikan diri ke luar negara berjaya ditangkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata usaha mengesan saki-baki anggota kumpulan itu sedang giat dijalankan dan mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang, lapor Bernama.

Pada September lalu, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata kumpulan itu, yang aktif sejak 2023 terlibat dalam beberapa jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, pembakaran dan rompakan berkumpulan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Katanya, geng ‘Captain Praba’ mempunyai 33 ahli dan didalangi seorang rakyat Malaysia.

“Kamu boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi daripada kami (polis). Kami akan mencari kamu,” katanya kepada pemberita pada satu program sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Beliau berkata baki ahli kumpulan itu termasuk ketuanya dipercayai telah meninggalkan negara ini menggunakan ‘lorong tikus’, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Anggota kumpulan tersebut, yang diburu polis menerusi Operasi Jack Sparrow, dipercayai melarikan diri dan bersembunyi India dan Thailand sejak September lalu.

Tiga suspek ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu selepas gagal memasuki United Kingdom.

Ketiga-tiga mereka, yang diekstradisi ke Malaysia pada Rabu, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Pada Oktober, 13 ahli kumpulan itu turut didakwa atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.