Tommy Thomas senarai 3 perkara untuk pembangkang ulang kemenangan PRU14

Tommy Thomas senarai 3 perkara untuk pembangkang ulang kemenangan PRU14

Aktivis yang juga peguam Ambiga Sreenevasan bagaimanapun berkata peluang pembangkang menang pilihan raya akan boleh terjejas susulan masalah dalaman mereka.

Tommy Thomas berkata pembangkang perlu mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” yang menjadikan negara ini lebih baik.
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Tommy Thomas mencadangkan tiga “perkara penting” perlu diberikan perhatian oleh pembangkang dalam kempen mereka bagi mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pertama, Thomas berkata, pembangkang perlu mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” yang menjadikan negara ini lebih baik dan cekap.

Beliau mendakwa, punca Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ke-7 kerana beranggapan kerajaan diterajuinya tidak “cukup Melayu”. Dua setengah tahun kemudian, Kabinet didominasi orang Melayu dengan bukan Melayu diketepikan, katanya.

“Pengudi Melayu akan kata mereka (kerajaan Melayu) sudah gagal, jadi pembangkang mesti menjadikannya isu,” katanya dalam forum bertajuk “Dark Forces Towards GE15” yang dianjurkan susulan pelancaran buku tulisan Murray Hunter dan Lim Teck Ghee.

Katanya, pembangkang juga perlu menumpukan kepada rasuah sebagai “barah”, selain mendakwa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 kerana pengundi menerima berlaku rasuah berleluasa dan skandal 1MDB.

Katanya, pembangkang mesti mengemukakan dalam manifesto pilihan rayanya dengan tiga hingga empat cadangan memerangi rasuah.

Ketiga, Thomas berkata, pembangkang sepatutnya menekankan situasi ekonomi yang teruk dihadapi negara kerana isu seperti itu menyentuh semua rakyat.

Beliau mendakwa, akibat daripada salah tadbir membabitkan dua kerajaan terdahulu, ekonomi negara berada pada tahap terburuk, hutang negara pada tahap tertinggi dan kedudukan mata wang juga pada paras terendah.

Aktivis yang juga peguam, Ambiga Sreenevasan yang bersetuju dengan Thomas bahawa rasuah merupakan “isu besar”, namun menekankan peluang pembangkang menang pada pilihan raya akan datang boleh terjejas susulan masalah dalaman mereka.

“Kebimbangan saya adalah bukan semua dalam pembangkang bersatu. Ia (kemenangan pada PRU15) boleh dicapai, tetapi mereka mesti mempunyai pelan bersama, bersatu,” katanya.

Panelis lain pada forum itu adalah peguam hak asasi manusia dan aktivis, Siti Kasim, veteran DAP Lim Kit Siang dan pengasas bersama Gerak Independent Tawfik Ismail dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.