Perak kibar bendera separuh tiang hormati kemangkatan Ratu Elizabeth II

Perak kibar bendera separuh tiang hormati kemangkatan Ratu Elizabeth II

Bendera Perak akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula esok.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang bag menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 9 Sept lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan, bendera Perak akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula esok.

“Sultan Perak telah berkenan agar negeri ini mengibarkan bendera separuh tiang bermula esok hingga Isnin depan, bagi menzahirkan rasa dukacita baginda di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

“Selain itu, atas hubungan baik Ratu Elizabeth II dengan istana dan kerajaan negeri, maka kibaran bendera separuh tiang akan dilaksanakan selama tiga hari sehingga sehingga selesai istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II pada hari Isnin,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II raja pemerintah paling lama menduduki takhta dalam sejarah British yang mangkat pada usia 96 tahun itu, kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.

Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1972 bagi lawatan khas, 1989 sempena mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11 dan 1998 sempena Sukan Komanwel ke-16.

Terdahulu, Yang Dipertua Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju agar bendera negeri Pulau Pinang dikibarkan separuh tiang pada Isnin ini sebagai menghormati hari pemakaman Ratu Elizabeth II.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Zakuan Zakaria berkata penghormatan itu juga sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II selepas 70 tahun menaiki takhta dan merupakan pemerintah monarki yang paling lama di United Kingdom.

“Selaras dengan persetujuan itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri menyahut keputusan tersebut serta mengarahkan semua jabatan dan agensi di negeri itu supaya mengibarkan bendera negeri Pulau Pinang separuh tiang pada Isnin ini,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.