Pemilik perniagaan mungkin tiada remedi dalam insiden ‘bendera terbalik’

Pemilik perniagaan mungkin tiada remedi dalam insiden ‘bendera terbalik’

Peguam berkata perniagaan terjejas akan berdepan kesukaran menuntut pampasan atas kerugian dialami daripada pemilik kedai perkakasan atau penganjur perhimpunan.

jalur gemilang terbalik
Beberapa kedai di Jalan Bertam Permata, Kepala Batas ditutup awal 14 Ogos lalu menjelang perhimpunan dirancang diadakan selepas sebuah kedai perkakasan mengibar Jalur Gemilang terbalik.
PETALING JAYA:
Pemilik perniagaan terkesan akibat kontroversi bendera di Pulau Pinang baru-baru ini mungkin berdepan kekangan dalam menuntut pampasan atas kerugian dialami, dengan pakar perundangan membayangkan sebarang cubaan membuat tuntutan mungkin tidak akan berjaya.

Menurut peguam, prinsip kerosakan luar duga mungkin digunakan untuk menafikan tuntutan seperti itu, memandangkan penutupan premis mereka dilakukan secara sukarela dan atas nasihat polis, bukan kerana dipaksa atau campur tangan secara langsung.

Julian Chan berkata, mengikut undang-undang Malaysia, perniagaan tidak berhak mendapat pampasan secara automatik, semata-mata kerana memilih untuk menutup premis sebagai persediaan menghadapi kekacauan, atau atas cadangan pihak polis.

“Kerugian dari segi ekonomi ini tidak disusuli kerosakan fizikal, dan mahkamah akan berhati-hati dalam membenarkan pampasan, melainkan tersedia dalam undang-undang kita,” katanya.

Chan berkata, prinsip penyebab dalam undang-undang juga mampu menjadi satu lagi cabaran tambahan kerana kerugian dialami mungkin bukan secara langsung akibat kejadian itu, sebaliknya disebabkan nasihat daripada pihak berkuasa atau reaksi selanjutnya.

Beliau mengulas kejadian kira-kira 10 kedai di Jalan Bertam Permata, Kepala Batas ditutup awal pada 14 Ogos lalu selepas perhimpunan dirancang diadakan, susulan video tular menunjukkan Jalur Gemilang dikibar terbalik di luar sebuah kedai perkakasan yang mencetuskan kemarahan umum.

Menurut laporan, perniagaan yang terjejas bersetuju menutup premis pada waktu tengah hari atas nasihat polis. Pemilik kedai perkakasan itu sudah memohon maaf dan menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan tidak disengajakan, selain menyuarakan kesediaan menghadapi apa jua tindakan perundangan mungkin dikenakan terhadapnya.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mencadangkan tindakan undang-undang lebih sesuai untuk membuat tuntutan terhadap penganjur perhimpunan berkenaan.

“Lebih mudah untuk mengaitkan kehilangan pendapatan dengan penganjuran perhimpunan itu, daripada lelaki yang mengibarkan bendera terbalik itu.”

Beliau berkata, satu lagi perkara boleh dipertimbangkan adalah tuntutan untuk gangguan terhadap perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran tuntutan seumpama itu masih sukar dibuktikan sekiranya tiada bukti wujudnya niat menyebabkan kemudaratan.

Peguam Ashok Kandiah berkata, sebarang tindakan undang-undang mungkin gagal memandangkan penutupan premis dilakukan secara sukarela dan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Lagipun, plaintif (perniagaan terjejas) tiada kuasa tindakan terhadap penganjur perhimpunan atas kehilangan pendapatan.

“Perhimpunan diadakan di tempat awam dan selagi tiada kerosakan terhadap premis atau barangan, tiada kuasa tindakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.