Bendera berkibar lesu

Bendera berkibar lesu

Hari ini, di tengah kemerdekaan mengalir lesu kerana adanya sesetengah antara kita yang suka mengapikan perkauman.

faisal tehrani

Kalau kemerdekaan itu sungai, saya kira ia adalah sungai yang mengalir lesu. Mungkin inilah yang boleh saya simpulkan setelah membaca karya berlatar zaman perang, ‘Sungai Mengalir Lesu’ oleh Sasterawan Negara A Samad Said di bulan merdeka.

Novelet ini jika direnung dan ditelaah sebenarnya mengetengahkan ungkapan kemanusiaan secara jujur, dan menggugah. Jika novel beliau yang terkenal, Salina, merakamkan derita selepas Perang Dunia Kedua, Sungai Mengalir Lesu pula merakam latar masa yang kita kurang tahu, iaitu ketika penaklukan Jepun di Malaya dan Singapura.

Umum mengetahui Pak Samad Said lahir di Melaka, dan membesar di Singapura ketika perang. Meskipun latar tempat untuk karya ini adalah di pulau selatan itu, tetapi ia masih tetap dapat dihubung dengan Malaya, atau Malaysia.

Justeru, apa yang menjadikan novelet ini istimewa untuk ditekuni kembali, khususnya di bulan kemerdekaan?

Saya kira ada satu aspek yang paling menonjol dalam novelet ini untuk kita fahami dan hadami. Aspek tersebut adalah persoalan hubungan kaum yang terjalin kukuh. Memang naratif asal atau awalnya itu dibangunkan oleh watak Tuminah, janda muda berusia 20-an dan adiknya Dalim, tetapi sebalik penceritaan mengalir laju, kita akan dibawa ke ruang shelter lantas diperkenalkan dengan aneka macam manusia, pelbagai perangai, dan kaum. Di situlah, tiap kali kebuk perlindungan dari bom Jepun, atau British kita akan mengunyah nasib manusia yang nestapa dipukul bencana perang. Tulis Pak Samad:

‘Di dalam shelter itu berbaur manusia tidak kira bangsa dan agama. Di dalamnya itulah selalunya mereka bercerita tentang suka duka masing-masing, tentang cinta dan harapannya, dan tentang apa yang akan dibuat mereka bila perang tamat nanti. Tuminah selalu mendengar cerita-cerita yang pilu, dibantu dengan kisah-kisah harapan yang memang dirindukan sangat. Memanglah shelter itu tempat gaulan segala perasaan. Kalau ia tidak tertimbus oleh bom dari B24 atau B29, kata Tuminah di dalam hati, ia akan
melahirkan beraneka cerita dari Econ, Mak Buruk, Salimah, Basir, Sayeed Ayuub, Giap Hong, Kuldip Singh, Irwan dan Mulyadi, Ahmad Jani dan Soosay.’

Di tempat lain, watak Tompang yang merupakan orang kurang upaya itu menjadi satu tanggungjawab seisi kampung meskipun bangsa berbeza-beza: ‘Tompang menjadi keluarga semua orang. Giap Hong pernah datang memberikan seluarnya yang koyak tetapi sudah ditampal; Kuldip Singh, pernah memberikan bantal buruk kepunyaan anaknya, Ranjit Singh; Ahmad Jani pernah menghadiahkan kemeja; Soosay dan Sayeed Ayuub masing-masing pernah menghulurkan roti Jepun yang sekeras dinding pintu mereka. Tetapi dengan Dalim, Baharum dan Sakinahlah, Tompang paling rapat sewaktu aman, dan pada waktu siren berombak-ombak pula dia akan menantikan sesiapa saja datang mendukungnya, biasanya Mak Buruk.’

Derita perang datang bersekali dengan dilema mencari perlindungan. Untuk sesetengah watak seperti Giap Hong, dan Ling Po, impian mereka adalah untuk memastikan terus bernyawa agar setelah perang berakhir, mereka sekeluarga boleh kembali ke Ipoh. Di kala itu, bangsa Cina amat dimusuhi oleh tentera Jepun dan nasib mereka selalunya buruk kalau bertembung dengan askar Jepun. Kegerunan itu digambarkan oleh Pak Samad, begini:

‘Giap Hong dapat mengingatkan peristiwa itu seterang-terangnya. Waktu itu pagi pukul 11, selepas dua hari rumah berhala di hadapan rumahnya tersungkur diledakkan shell Jepun dari Bukit Timah. Serdadu Gurkha dan Australia yang bertopi mengembang sedang dikerah membersihkan longkang dan mengangkat sampah sarap di sepanjang-panjang jalan dengan serdadu Jepun yang bersongkok terperosok berekor pula di tengkuk memerintah keras. Walaupun waktu itu sesepi-sepinya, tidak seperti selalu shell ataupun bom atau tembakan machine-gun tidak putus-putus, Giap Hong dan keluarganya tidak aman juga. Mereka mendengar khabar daripada jiran yang merempuh barang-barang makanan dari gudang makanan yang berhampiran bahawa semua orang-orang Cina akan disuruh keluar untuk ditapis oleh orang-orang Jepun. Orang-orang Cina di sebelah Tanjung Pagar membawa ke New Bridge Road sudah pun dikerah keluar untuk kerja-kerja tapisan itu. Kebanyakan yang tua, wanita dan kanak-kanak saja yang dibenarkan pulang pada waktu itu juga, sedang yang muda, lelaki, kebanyakannya ditahan.’

A Samad Said pernah menyatakan dalam satu wawancara, novelet Sungai Mengalir Lesu ini adalah semacam satu lamentasi hubungan kaum. Kata beliau, ‘di waktu penderitaan, orang lupa dia Melayu, Cina atau India, tetapi bila senang dan disedapkan kuasa, perpecahan mula berlaku. Waktu itu kita sudah berbilang kaum tetapi saya dapati waktu penderitaan itu orang lupa dia Melayu, Cina atau India. Penderitaan menyatukan mereka yang berbilang kaum, dalam novel Sungai Mengalir Lesu tidak timbul soal kaum kerana mereka semuanya bersatu.’

Kenyataan ini tentunya pedih.

Untuk A Samad Said yang merasai dahsyatnya perang, dan melihat bagaimana manusia bersatu, bergotong-royong dan menggembleng tenaga mendepani kebuluran, wabak penyakit, dan kekejaman tentera Jepun; telingkah dan sengketa kaum tentulah menakutkan beliau. Malah, saya dapat membayangkan bila muncul percekcokan dan kelahi atas nama kaum mereka yang pernah mengalami era perang di Singapura, atau di Melaka tentu sahaja dilanda kecewa. Di waktu itu masyarakat berkongsi nasib dan harapan yang sama.

Hari ini, di tengah kemerdekaan mengalir lesu kerana adanya sesetengah antara kita yang suka mengapikan perkauman, membaca novelet oleh A Samad Said ini sebenarnya menginsafkan.

Apa yang kita nikmati hari ini – keamanan – tentu sahaja dicemburui oleh bangsa yang tertindas seperti di Sudan, Congo, dan Gaza, Palestin. Kita generasi pasca kemerdekaan perlu memuhasabah meletakkan diri kita dalam kasut watak-watak lara seperti Mak Buruk, Basir, Mulyadi, Salimah, Ariappan dan Kuldip Singh.

Sebenarnya, Sungai Mengalir Lesu perlu dibaca semua, atau diulang baca semula. Paling-paling mesti membacanya adalah pemimpin. Hari ini kita lupa ‘derita, menyatukan’ dan lebih suka memilih ‘sedap, membawa gaduh’ kerana kita tidak mahu memahami. Karya sastera sebegini boleh menggugah semula nurani. Edisi Mandarin novelet ini mesti disebar-luaskan, manakala terjemahan Inggerisnya mesti diperkenalkan sungguh-sungguh.

Saya gembira misalnya Program Telaah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia akan menekuni semula Sungai Mengalir Lesu, dan yang akan menjadi pembicara utamanya adalah seorang ekonomis, Profesor Dr Sufian Jusoh, naib canselor UKM. Alang-alang karya sastera diangkat, moga-moga juga bidang sastera yang lesu di kampus dapat kembali dijulang. Sastera Melayu sedia ada sudah tepu wacana keislaman, menjadikan ia dijauhi oleh masyarakat berbilang kaum.

Kadangkala kita tidak perlu mengibar bendera untuk memastikan semangat patriotik berkobar. Bendera kadang boleh tidak sengaja tersalah pasang, tetapi membaca karya sarat manusiawi kita pasti menginsafi diri.

Kalau selalu-selalu kita dihidangkan novelet begini dalam sastera Melayu, sukar kita mendapat pemimpin yang suka mengacum.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.