Muhyiddin harap PAS guna logo PN pada PRU16

Muhyiddin harap PAS guna logo PN pada PRU16

Pengerusi PN itu berkata ia menjimatkan kos, malah akan mengukuhkan lagi perpaduan PN dalam jangka masa panjang.

bendera pas
PN menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan, dengan calon Bersatu juga bertanding menggunakan logo PAS. (Gambar EPA Images)
ALOR SETAR:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berharap PAS menggunakan logo gabungan itu dalam PRU akan datang, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai parti Islam tersebut.

Presiden Bersatu itu berkata, bertanding di bawah satu logo bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah akan mengukuhkan lagi perpaduan PN dalam jangka masa panjang.

“Perkara ini belum diputuskan, akan sampai masanya. Hajat kita kalau boleh seluruh calon kita bertanding guna logo PN di semua negeri termasuk SG4,” katanya kepada pemberita di luar muktamar PAS di sini.

SG4 merujuk kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Muhyiddin berkata perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN minggu depan.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mencadangkan agar parti itu bertanding menggunakan logo bulan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Hashim berkata penggunaan logo PAS terbukti berkesan di Kelantan dan Terengganu pada PRU15 lalu.

Pada PRU15, PN menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan, dengan calon Bersatu juga bertanding menggunakan logo PAS.

Di Kedah pula, PN bertanding di bawah logo gabungan itu dan hampir menyapu bersih kerusi Parlimen, dengan kemenangan 14 kerusi manakala Pakatan Harapan hanya memperoleh satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.