
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya mengesan video tular dalam media sosial yang memaparkan bendera Malaysia dipasang terbalik itu pada pukul 4 petang semalam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai telah menjalankan pemeriksaan dan menahan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017), Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963.
“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.