
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Zakuan Zakaria berkata penghormatan itu juga sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II selepas 70 tahun menaiki takhta dan merupakan pemerintah monarki yang paling lama di United Kingdom.
“Selaras dengan persetujuan itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri menyahut keputusan tersebut serta mengarahkan semua jabatan dan agensi di negeri itu supaya mengibarkan bendera negeri Pulau Pinang separuh tiang pada Isnin ini,” katanya dalam kenyataan.
Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada 8 Sept lepas.
Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 Sept.
Jasad baginda akan dimakamkan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.
Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.