
Pesuruhjaya Fauzi Yusoff yang juga ketua pembangkang negeri berkata, kadar menyeluruh tidak wajar dikenakan ke atas rumah kampung, rumah kos rendah, bangunan bercampur serta premis perniagaan.
Beliau berkata, struktur zon sedia ada yang mengklasifikasikan kawasan sebagai bandar atau luar bandar tidak menggambarkan realiti kehidupan masyarakat setempat.
“Pembangkang Pulau Pinang tidak menolak keperluan meningkatkan hasil negeri, tetapi tidak boleh dilakukan dengan cara yang membebankan rakyat pada waktu sukar ini,” katanya dalam kenyataan.
Fauzi berkata, rakyat sudah menanggung beban akibat peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan walaupun barangan asas dikecualikan, langkah itu tetap menjejaskan rantaian bekalan sekali gus menyebabkan harga barang harian meningkat.
Kenyataan Fauzi senada pandangan Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang (Ratepayers Penang) Jumaat lalu, kadar baharu itu sepatutnya ditangguhkan hingga 2029 dan menggesa kerajaan negeri meneliti semula rancangannya.
Mengikut kadar baharu, cukai tanah bagi rumah individu di kawasan bandar akan naik 16 sen kepada 70 sen semeter persegi mulai 1 Jan, manakala kadar luar bandar meningkat 22 sen kepada 50 sen semeter persegi.
Bagi premis perniagaan, kadar baharu ialah RM3.25 semeter persegi di kawasan bandar dan RM2.80 di luar bandar, manakala kadar industri naik daripada RM1.29 kepada RM3.25 semeter persegi.