
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason Hng, mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Seberang Perai (MBSP) turun padang dan mengusir peniaga yang melanggar garis panduan dikeluarkan pada 2021.
“Perkara ini terkandung dalam garis panduan, dan kita akan menguatkuasakannya. Kita tidak boleh biarkan ia berlaku lagi.
“Saya sudah mengarahkan datuk bandar Seberang Perai turun padang, dan saya juga akan meminta datuk bandar Pulau Pinang melakukan perkara sama — pergi ke semua sekolah dan periksa gerai-gerai ini,” katanya kepada FMT.
Garis panduan dibangunkan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu melarang penjualan gula-gula, coklat, aiskrim, makanan ringan, makanan diproses, mi segera, dan minuman bergula dalam lingkungan 40m dari pagar sekolah.
Fahmi, murid Tahun 4 tercekik gula-gula dibelinya di luar SK Sungai Dua, Butterworth. Dia berada dalam keadaan kritikal selepas kejadian dan meninggal dunia 11 malam semalam.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah itu tetapi menggesa penguatkuasaan lebih ketat untuk melarang penjaja daripada menjual gula-gula berbahaya kepada kanak-kanak.
“Ini adalah peringatan. Gula-gula dan makanan ringan tidak sepatutnya dijual berdekatan sekolah.
“Berapa ramai lagi kanak-kanak mesti menderita sebelum tindakan diambil?” kata Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow.