Wakil rakyat PH sokong cadangan bangun SFZ di P Pinang

Wakil rakyat PH sokong cadangan bangun SFZ di P Pinang

Negeri itu sangat memerlukan saluran baharu untuk menarik pelaburan asing, kata kumpulan wakil rakyat itu.

Kekurangan tanah perindustrian di Pulau Pinang mengehadkan aliran masuk pelaburan asing, menurut wakil rakyat PH. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Sekumpulan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menyokong cadangan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng agar Pulau Pinang dijadikan zon kewangan khas (SFZ) kedua di negara ini.

Mereka berkata, negeri itu sangat memerlukan saluran baharu untuk menarik pelaburan asing bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan.

Menurut kumpulan wakil rakyat itu, Pulau Pinang secara tradisinya menarik pelaburan asing melalui sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelabur.

“Bagaimanapun, kekurangan tanah perindustrian di Pulau Pinang mengehadkan aliran masuk pelaburan asing,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Berikutan itu, kata mereka, Pulau Pinang tidak tersenarai antara lima tempat teratas menarik pelaburan pada separuh pertama tahun ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, serta Adun Wong Yuee Harng (Pengkalan Kota); Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal); Connie Tan (Seri Delima); Joshua Woo (Pulau Tikus); K Kumaran (Bagan Dalam); Phee Syn Tze (Sungai Puyu); dan Lee Boon Heng (Kebun Bunga).

Memetik Forest City di Johor sebagai contoh, mereka berkata, SFZ yang serupa perlu diwujudkan di Pulau Pinang untuk memastikan pembangunan diselaraskan antara utara dan selatan Semenanjung.

Mereka juga berkata, pembangunan giat industri E&E Pulau Pinang, yang menguasai 8% bahagian eksport semikonduktor global, menunjukkan keupayaan negeri itu sebagai “kuasa ekonomi” dan potensi untuk berkembang maju sebagai SFZ.

Minggu lepas, Lim mengusulkan agar Pulau Pinang dijadikan SFZ kedua di Malaysia semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Forest City di Johor diisytiharkan sebagai SFZ oleh perdana menteri dengan harapan dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan merangsang ekonomi negeri.

Semalam, FMT melaporkan dua kumpulan perniagaan menyokong cadangan bekas ketua menteri itu dengan berkata, ia akan membendung masalah penghijrahan bakat di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.