‘Tiada nilai tambah’, sukar PN Kedah terima MIC, kata penganalisis

‘Tiada nilai tambah’, sukar PN Kedah terima MIC, kata penganalisis

Azmi Hassan dan Mazlan Ali senada hasrat MIC Kedah mahu bekerjasama dengan PN pada PRU akan datang mungkin ditolak, mengambil kira kekuatan PN menguasai majoriti kerusi negeri SG4 itu.

MIC dilihat kurang kelebihan untuk menarik pengundi bukan Melayu yang diperlukan PN, menurut Azmi Hassan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Kedah mungkin sukar menyambut ‘tangan kerjasama’ MIC negeri itu memandangkan kekurangan pengaruh parti komponen Barisan Nasional (BN) berkenaan, kata penganalisis.

Azmi Hassan dan Mazlan Ali senada hasrat MIC Kedah yang mahu bekerjasama dengan PN pada PRU akan datang mungkin ditolak, mengambil kira kekuatan PN yang menguasai 33 daripada 36 kerusi di negeri SG4 itu pada PRN, dua tahun lalu.

PAS menjadi blok terbesar dengan 22 DUN manakala 10 Bersatu dan 1 Gerakan. Bakinya dimenangi Pakatan Harapan (PH).

“Adakah PAS mahu berkongsi keselesaan mereka dengan MIC (di Kedah)? Saya rasa itu tidak akan berlaku,” kata Azmi, felo Majlis Profesor Negara kepada FMT.

Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata: “Jika MIC menyertai PN, dia mesti diberi kerusi dan ia perkara yang agak kritikal terutama di Kedah yang dikuasai PAS. Sukar untuk serahkan kerusi kepada MIC.”

Jumaat lalu, MIC Kedah meluluskan usul bekerjasama dengan PN pada PRU16 dan keluar dari BN manakala MIC Pulau Pinang pula setuju usul keluar komponen berkenaan.

Perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung tahunan peringkat pusat.

Mengulas lanjut, Azmi berpandangan untuk sebuah parti duduk bersama PN, mereka perlu membuktikan kemampuan menarik sokongan pengundi bukan Melayu, dan kelebihan itu ‘tiada pada MIC’.

“Kerana PAS Kedah begitu dominan, begitu juga di negeri-negeri SG4 lain (Terengganu, Kelantan dan Perlis), jadi nilai tambah kepada PN itu tiada,” katanya.

Mazlan pula tidak menolak hasrat MIC Kedah dan Pulau Pinang itu menerima nasib sama seperti Pejuang, yang ditolak permohonannya untuk menyertai PN pada Mac 2023.

Menurutnya, langkah berpaling tadah itu juga berkait rapat dengan strategi MIC untuk menambah kerusi pada PRU akan datang, yang dilihat samar jika terus bersama BN.

“Jadi mungkin ini adalah suara akar umbi MIC yang cuba mencetuskan satu gerakan bahawa MIC mesti membuat satu keputusan dengan menyertai pembangkang,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, satu-satunya Ahli Parlimen parti itu berkata partinya berasa tidak dihargai kerana tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun mempunyai pemimpin kanan.

Beliau berkata MIC akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.