Tawaran gaji USD10,000 15 hari, remaja terkandas di Kemboja

Tawaran gaji USD10,000 15 hari, remaja terkandas di Kemboja

Keluarganya tidak dapat hubungi remaja berusia 19 tahun sejak Ogos lalu.

Ibunya, Tan Guey Siew meminta bantuan MCA Pulau Pinang untuk membawa pulang anaknya yang disyaki berada di Sihanoukville di selatan Kemboja.
PETALING JAYA:
Terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan, seorang remaja berusia 19 tahun dilaporkan terkandas di Kemboja selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan kerja tidak wujud, sejak Jun lalu.

Ibu mangsa, Tan Guey Siew, 42, berkata anaknya berangkat ke Kemboja sebaik menamatkan persekolahan selepas tertarik dengan tawaran kerja yang menawarkan gaji USD10,000 untuk tempoh 15 hari.

Bagaimanapun, Tan memberitahu, dia tidak dapat menghubungi anaknya dan dipercayai berada di Sihanoukville di selatan Kemboja.

“Sebelum itu, anak memaklumkan kepada saya, dia sering dipukul serta tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga.”

“Saya sudah larang tetapi dia mahu pergi juga dengan menaiki kapal terbang, selepas habis belajar kerana mahu mencari pengalaman kerja di luar negara,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, Tan yang juga seorang guru, sanggup datang dari Seri Petaling, Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atas cadangan rakan yang memberitahu MCA negeri ini pernah berjaya membantu kes seumpama itu sebelum ini.

Jelasnya lagi, sebelum terputus hubungan, anaknya kerap menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp memberitahu perkembangan dirinya, dua atau tiga kali sehari selain pernah menghantar beberapa keping foto tanda lebam pada paha, badan dan pinggul akibat dipukul menggunakan rotan.

“Anak saya juga pernah beritahu dia disebat dengan tali kuda mungkin macam cemeti dan dia tunjuk gambar badannya yang lebam selepas beberapa hari kejadian itu berlaku,” katanya.

“Saya diberitahu anak, kerja dia merekrut orang baharu menerusi iklan dengan mengajak mereka untuk bekerja seperti ditawarkan.”

Kata Tan, anaknya dikatakan tinggal bersesak-sesak dengan lebih 20 penghuni lain dalam satu unit bangunan yang dijadikan asrama dan bekerja dari jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari tanpa diberi cuti selain dikawal ketat dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Pulau Pinang, Francis Goh berkata, tahun ini sahaja MCA negeri menyelamatkan enam individu yang terkandas di luar negara selepas ditipu sindiket pekerjaan tidak wujud dan ia bukan satu tugas mudah selain membabitkan proses yang panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.