
Dalam serbuan antara 10 malam 4 Nov hingga 6 petang, 5 Nov lalu, sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga United Kingdom (UK) dipercayai keldai dadah antara lapan individu diberkas.
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata dalam serbuan pertama di sebuah inap desa lima lelaki serta seorang warga UK berketurunan Pakistan ditahan sebelum tangkapan susulan ke atas seorang lelaki tempatan dan isterinya, rakyat Thailand, di tepi jalan kawasan sama.
Beliau berkata, pemeriksaan di inap desa itu menemukan 17 bagasi mengandungi bungkusan disyaki bunga ganja dianggarkan 47.7kg.
“Sindiket dipercayai membawa masuk dadah berkenaan melalui jalan darat dari negara yang bersempadan dengan satu negeri di Pantai Timur dan dipercayai menjadikan inap desa itu sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula.
“Berdasarkan siasatan, kita tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang dijadikan transit sebelum dadah berkenaan dibawa keluar untuk pasaran pasaran luar negara,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Pulau Pinang, George Town.
Azizee berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun itu berperanan sebagai transporter dengan suami isteri tersebut turut menjadi dalang sindiket serta mempunyai sebuah kedai makan di Negeri Sembilan.
Suspek lain bekerja sebagai ‘beach boy’, selain penghantar makanan, manakala lelaki warga UK itu dipercayai menerima bayaran antara RM9,000 hingga RM15,000 bagi setiap penghantaran.
“Berdasarkan siasatan sindiket ini baru aktif pertengahan Oktober lalu dan dipercayai kali pertama membawa masuk bekalan ke sini. Semua dadah itu turut dilabelkan dengan perisa bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah dadah itu boleh digunakan 500,000 individu.
Dua kereta jenis Honda Civic dan Toyota Estima bernilai RM210,000 turut disita dengan jumlah rampasan dan sitaan RM8.88 juta.
Beliau berkata, semua suspek negatif dadah, namun empat daripada mereka didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Semua suspek direman tujuh hari hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.