SMK Dato Onn hasil Jalur Gemilang gergasi guna penutup botol

SMK Dato Onn hasil Jalur Gemilang gergasi guna penutup botol

Projek Jalur Gemilang gergasi itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan guru dan pelajar SMK Dato’ Onn dalam tempoh dua minggu.
KUALA LUMPUR:
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna buat warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn di ibu negara yang berjaya menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menggunakan 10,163 penutup botol.

Pengetuanya, Salina Shaari berkata, Jalur Gemilang gergasi itu sebenarnya tidak diuruskan sejak lapan tahun lalu.

Bagi mencipta kelainan untuk Jalur Gemilang itu, katanya, guru bersama pelajar mengumpul lebih 10,000 penutup botol.

“Sejarahnya bermula 2014, Jalur Gemilang ini adalah inisiatif pengetua terdahulu, selepas beliau tidak lagi menjadi pengetua sekolah ini, bendera ini ditinggalkan tanpa diuruskan pengetua selepas itu.

Sebanyak 10,163 penutup botol digunakan untuk menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini.

“Kita kembalikan kemegahan Jalur Gemilang ini, ia sesuatu yang unik dan memang jarang sekolah dapat laksanakan, kami tambah baik Jalur Gemilang ini dan inilah hasilnya yang amat membanggakan sekolah,” katanya kepada FMT.

Guru yang mengetuai projek Jalur Gemilang gergasi itu, Nur Zuraida Nordin berkata, projek itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan, bermula dengan kempen mengumpul penutup botol sehingga selesai proses penghasilannya.

Guru penyelia projek, Nur Zuraida Nordin.

“Saya bermula dengan hebahan kempen mengumpul penutup botol. Saya maklumkan misi kita untuk menghasilkan Jalur Gemilang ini dan pelajar memang bersemangat dan sama-sama mengumpul penutup botol.

“Kami mengambil masa satu minggu untuk menyiapkan bendera ini dan seminggu sebelum itu, kami berkempen mengumpul penutup botol.”

Meskipun bermula dengan usaha kecil mengumpul penutup botol, katanya, kesungguhan pelajar sepanjang proses itu sehingga siapnya Jalur Gemilang itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Melihat usaha anak murid membantu, ia gambaran yang luar biasa,” katanya yang terharu melihat pelajar memberikan kerjasama cukup baik dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.