
Beliau berkata, tinjauan itu juga mendapati tiap seorang daripada lapan kanak-kanak dan remaja berumur 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental.
Katanya, NHMS juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental, tetapi ramai yang tidak tampil mendapatkan bantuan.
“Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja mengalami beban kesihatan mental yang teruk,” katanya selepas melancarkan Laporan dan Infografik Negara Malaysia: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik semalam.
Beliau berkata, antara faktor risiko adalah kesihatan mental yang lemah, pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.
Mengenai MHPSS, katanya, laporan itu menekankan jurang kritikal dalam tindak balas dan cabaran semasa pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, termasuk kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan bagi menangani masalah kesihatan mental, kekurangan pemerkasaan undang-undang dan dasar sedia ada, kelemahan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor, serta pembiayaan tidak mencukupi.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga komited menterjemah penemuan penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan.