
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihak Roblox turut memaklumkan kesediaan mereka bekerjasama dengan Malaysia, terutama dalam perkongsian data dan pematuhan peraturan ditetapkan kerajaan.
Yeoh dalam catatan Facebook hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak kepada pihak Roblox, aplikasi permainan dalam talian yang popular.
“Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga membina karakter dan nilai betul untuk generasi akan datang,” katanya yang turut memuat naik gambarnya bersama wakil Roblox.
Beliau berkata, platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk lebih sejuta di Malaysia.
“Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan.
“Sebagai menteri belia dan sukan serta seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak.”
Sabtu lalu, seorang kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar abangnya berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox dimainnya terganggu dan semua ‘point’ dikumpulnya hilang.