Penganjur WWC mohon maaf ‘gimik’ promosi babit kanak-kanak

Penganjur WWC mohon maaf ‘gimik’ promosi babit kanak-kanak

Penganjur janji akan memastikan semua aktiviti mematuhi SOP dan peraturan berkaitan sukan kombat pada masa akan datang.

Yusuf Azmi
Penganjur Warzone World Championship Yusuf Azmi berkata ia hanya gimik semata-mata dan tiada perkara yang berlaku atas pembawaan emosi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur Warzone World Championship (WWC) memohon maaf susulan kontroversi akibat ‘gimik keterlaluan’ melibatkan kanak-kanak ketika sidang media acara itu beberapa hari lalu.

Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi, berkata pihaknya menerima teguran dengan hati terbuka dan berjanji akan memastikan semua aktiviti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan pada masa akan datang.

“Ia hanya gimik semata-mata dan tiada perkara yang berlaku atas pembawaan emosi.

“Saya ingin memohon maaf atas keterlanjuran dalam mempromosikan acara kerana ini adalah kali pertama menganjurkan acara berskala besar dan mungkin tidak mempunyai pengalaman,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

Beliau berkata, gimik itu menimbulkan salah faham terutama apabila ia dilihat seperti mengeksploitasi atau menggunakan kanak-kanak untuk promosi.

Mengulas lanjut, Yusof berkata beliau turut menghantar permohonan maaf secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Kementerian Pendidikan serta persatuan berkaitan atas kesilapan itu.

“Saya berjanji tiada lagi gimik-gimik ataupun kandungan yang melibatkan unsur-unsur keganasan terutama yang membabitkan kanak-kanak. Pada masa sama turut memastikan semua SOP atau undang-undang dalam sukan kombat dipatuhi,” katanya.

Kejohanan International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Dis ini menarik perhatian selepas beberapa klip video pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia tular, dipercayai sebahagian daripada strategi promosi acara tersebut.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur dalam negara yang mempersoalkan profesionalisme dan keselamatan penganjuran termasuk pembabitan kanak-kanak.

Ahad lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam kenyataan menjelaskan WWC tidak memperoleh kelulusan rasmi daripada KBS.

Katanya, sebarang penganjuran acara sukan melibatkan penyertaan antarabangsa wajib mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Susulan itu, sebuah video dimuat naik hari ini menerusi akaun Instagram alfateh_semboyanwarrior menunjukkan kanak-kanak itu memohon maaf atas insiden menendang pesaing dari Indonesia ketika sidang media WWC.

Bagaimanapun, ia dikecam Hannah dengan menegaskan penganjur WWC perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.