
Lingesh Lechamanan, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Retail Academy Sdn Bhd, sebuah firma latihan dan perundingan, berkata sebilangan besar rakyat Malaysia di luar negara telah diiktiraf atas kemahiran dan bakat mereka.
“Cabaran untuk negara adalah bukan bagaimana untuk menarik bakat asing tetapi bagaimana untuk mendapatkan bakat tempatan kita yang berkemahiran tinggi di luar negara kembali ke Malaysia.
“Strategi Malaysia untuk membawa masuk bakat asing berkemahiran tinggi hendaklah hanya sebagai langkah sementara sambil kita meneruskan usaha untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan dan menarik lebih ramai bakat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya kepada FMT.
Lingesh berkata, pengurangan cukai pendapatan peribadi atau insentif monetari lain harus ditawarkan untuk menarik bakat Malaysia yang kini berada di luar negara.
Dalam jangka panjang, katanya, ekonomi boleh didorong sebahagian besarnya oleh golongan ini, yang akan membentuk tenaga kerja yang lebih mampan.
Thailand baru-baru ini dilaporkan telah memutuskan untuk memperkenalkan visa 10 tahun mulai bulan depan untuk menarik pekerja mahir dan pelabur. Negara itu menyasarkan sejuta orang dari Jepun dan ekonomi maju lain dalam tempoh lima tahun akan datang.
Visa jangka panjang itu direka untuk menjadikan sektor utama seperti automotif, elektronik dan bioteknologi lebih berdaya saing.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, Malaysia tidak perlu mengikut langkah ini kerana kita tidak memerlukan kepakaran asing yang sebegitu ramai.
Sebaliknya, bakat asing harus digunakan untuk membantu membangunkan dan menggilap bakat tempatan dalam bidang-bidang bernilai tinggi, katanya.
“Kita perlu pemangkin bagi perkhidmatan dalam (sektor) runcit, penginapan, hospitaliti dan borong serta dalam institusi yang menggalakkan revolusi perindustrian keempat (IR 4.0),” katanya.
Barjoyai berkata, tempoh lima tahun sudah memadai untuk kerajaan melahirkan bakat tempatan berkemahiran yang mampu menjana aktiviti ekonomi lain.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, Malaysia telah bertahun-tahun menjadi tumpuan bakat asing, sehinggakan bilangan mereka mengatasi bakat tempatan dalam beberapa sektor.
Bagaimanapun, katanya, semua sektor memerlukan bakat asing untuk menggalakkan inovasi. Ditambah dengan kumpulan bakat tempatan, ini akan meluaskan skop idea, pilihan dan peluang.
Williams berkata, Malaysia sudah mempunyai pas 10 tahun yang serupa dengan inisiatif baharu Thailand, menyifatkan “Residence Pass-Talent” sebagai skim yang cemerlang.
“Sekalipun begitu, pas 10 tahun itu perlu diperluas untuk merangkumi semua pekerja asing bagi meliberalisasikan sistem pengambilan di setiap peringkat dengan menyingkirkan ejen (pekerjaan) dan membenarkan mereka bertukar majikan tanpa sekatan.
“Jika tidak, kita mendapat amalan salah guna yang boleh menyebabkan pekerja berhenti dan ini akan merosakkan reputasi Malaysia serta ekonominya,” katanya.