Malaysia, Brazil kukuh kerjasama strategik menerusi pertukaran MoU

Malaysia, Brazil kukuh kerjasama strategik menerusi pertukaran MoU

Pertukaran memorandum persefahaman itu merentas sektor utama termasuk teknologi semikonduktor, sains, inovasi dan pertanian.

Anwar Ibrahim
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya. (Gambar Bernama) 
PUTRAJAYA:
Malaysia dan Brazil bertukar siri memorandum persefahaman (MoU) hari ini sekali gus menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan dua hala merentas sektor utama termasuk teknologi semikonduktor, sains, inovasi dan pertanian.

Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, yang dalam lawatan rasminya ke Malaysia, di Kompleks Seri Perdana.

Pertukaran MoU pertama melibatkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dan Naib Menteri Pembangunan, Industri, Perdagangan dan Perkhidmatan Brazil, Marcio Fernando Elias Rosa yang memfokuskan pada meningkatkan kerjasama dalam industri semikonduktor.

Ia disusuli pertukaran MoU antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan rakan sejawatannya dari Brazil Luciana Barbosa de Oliveira Santos, yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Pertukaran MoU seterusnya adalah antara MDE Instituto Nacional de Pesquisas Espaciais dan MIMOS Bhd, memfokuskan pada sektor semikonduktor.

Chang dan Luciana turut bertukar MoU antara MIMOS dan CTI Renato Archer dari Brazil mengenai teknologi semikonduktor.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Mohd Faiz Abdullah dan Menteri Luar Brazil Mauro Vieira pula bertukar MoU antara ISIS Malaysia dan The Alexandre de Gusmão Foundation (FUNAG).

FUNAG merupakan kumpulan pemikir yang juga rakan sekutu kepada Kementerian Luar Brazil yang menumpukan pada sejarah diplomasi dan hubungan antarabangsa dengan menggalakkan pembangunan kajian dan penyelidikan serta aktiviti budaya dan pedagogi mengenai topik tersebut.

Pertukaran Nota antara Vieira dan Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin mengenai latihan untuk diplomat turut dilaksanakan manakala pertukaran terakhir ialah Surat Niat antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Perbadanan Penyelidikan Pertanian Brazil (EMBRAPA).

Pertukaran itu adalah antara Ketua Pengarah Mardi, Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Menteri Pertanian dan Ternakan Brazil Carlos Fávaro.

Pada 2024, Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin, dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah RM20.36 bilion (USD4.46 bilion).

Eksport Malaysia termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, getah dan farmaseutikal halal, manakala import terdiri daripada bijih, makanan diproses dan produk petroleum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.