Satukan pakar lonjak industri pempakejan mikroelektronik

Satukan pakar lonjak industri pempakejan mikroelektronik

Malaysia berpotensi jadi peneraju inovasi pempakejan mikroelektronik Asia jika pakar tempatan dan diaspora disatukan.

semiconductor

Malaysia kini menguasai kira-kira 13% pasaran global pempakejan mikroelektronik pada hari ini. Industri itu bertapak di Malaysia dengan penubuhan zon bebas cukai di Pulau Pinang sejak awal 1970-an.

Kini, Malaysia diiktiraf sebagai pengeksport keenam terbesar semikonduktor di peringkat antarabangsa, terutama dalam segmen pempakejan, pemasangan dan ujian (“assembly dan test”). Secara keseluruhan, bidang mikroelektronik menjana hampir 40% daripada jumlah eksport Malaysia.

Menyedari peri-pentingnya bidang mikro elektronik kepada negara, kerajaan Madani telah pun melancarkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (National Semiconductor Strategy, NSS) pada 28 Mei 2024.

Ia sebagai satu pelan jangka panjang untuk melestarikan Malaysia sebagai satu hab global semikonduktor — bukan sekadar dalam pemasangan, tetapi juga reka bentuk, pempakejan lanjutan dan peralatan pembuatan.

Secara ringkas, NSS digerakkan melalui tiga fasa utama:

Fasa 1 – Memperkukuh asas sedia ada: menambah baik kemudahan pemasangan dan ujian (OSAT), serta menarik pelaburan baharu dalam pembuatan dan peralatan semikonduktor.

Fasa 2 – Melangkah ke teknologi hadapan: memperkembangkan keupayaan ke dalam bidang cip kuasa dan teknologi pempakejan lanjutan seperti Fan-Out, Pempakejan 2.5D dan 3D, yang kritikal untuk pasaran pesat seperti AI, 5G/6G dan Internet Kebendaan (IoT).

Fasa 3 – Melahirkan juara tempatan: menyokong pembangunan syarikat tempatan dalam reka bentuk cip, pembuatan peralatan dan pempakejan bernilai tinggi supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Melalui NSS, Malaysia menyasarkan untuk melatih 60,000 jurutera semikonduktor, membina 10 syarikat tempatan berpendapatan melebihi USD1 bilion, serta memperuntukkan RM25 bilion dalam bentuk insentif dan pembangunan bakat.

Bakat, diaspora sebagai pemangkin inovasi 

Pembangunan bakat dan tenaga pekerja merupakan nadi utama dalam strategi ini. Penyatuan pakar tempatan dalam bidang pempakejan mikroelektronik perlu dijadikan sebagai tonggak utama yang menghubungkan dasar, industri dan penyelidikan dalam Fasa 1 NSS.

Sains asas dalam bidang semikonduktor sebenarnya tidak banyak berubah, namun perkembangan teknologi pempakejan mikroelektronik berlaku dengan sangat pantas.

Pada masa ini, kemajuan dan pencapaian teknologi node sama ada di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, atau negara yang sedang membangun seperti India, diterajui oleh syarikat serta universiti yang mempunyai jaringan penyelidikan global yang luas.

Ini membolehkan mereka mempercepatkan inovasi dan pengkomersialan teknologi terbaharu.

Bakat dan tenaga pekerjalah yang akan merealisasikan translasi ini.

Malaysia sendiri mempunyai jaringan pakar tempatan dan global terdiri daripada rakyat atau bekas rakyat Malaysia yang kini bekerja dalam bidang semikonduktor terkini di Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan atau Singapura.

Golongan diaspora ini ialah aset strategik yang boleh digerakkan untuk memperkukuh inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat dalam NSS.

Sebagai perbandingan, kerajaan India — dengan bimbingan diaspora India — sedang giat membangunkan ekosistem semikonduktor menyeluruh melalui India–U.S. Initiative on Critical and Emerging Technology (iCET) dan India Semiconductor Mission (ISM).

ISM ditubuhkan untuk mengubah India daripada sebuah negara berfokus reka bentuk kepada ekonomi berpusatkan sistem mikroelektronik, dengan menubuhkan 12 Pusat Kecemerlangan (CoE) dalam teknologi strategik bersama Indian Institute of Technology dan India Institute of Science, melibatkan lebih 50 syarikat global dan universiti antarabangsa.

Program ini menggabungkan penyelidikan, pembangunan bakat, dan kerjasama industri–akademia untuk menjadikan India sebagai pemain global dalam bidang semikonduktor dan pempakejan bersepadu dalam dekad akan datang.

Malaysia perlu model ISM 

Bak kata pepatah, “good artists copy; great artists steal.” Untuk mempercepat kemajuan, Malaysia disaran meniru model ISM dengan menubuhkan Pusat Pembangunan Bersama Industri (Industry Co-Development Centres, ICDC) yang digerakkan melalui pelaburan dan kepakaran industri dengan suntikan dana permulaan oleh kerajaan.

Sekurang-kurangnya dua hab — di utara (Pulau Pinang–Kulim) dan tengah Malaysia (Lembah Klang) — wajar diwujudkan sebagai asas rangka kerja kebangsaan yang menyatukan universiti, penyelidik dan peserta industri.

Buat masa ini, persatuan profesional seperti IEEE Electronics Packaging Society (EPS) Malaysia mengisi kekosongan membina bakat dan jaringan global dengan membawa pakar antarabangsa ke Malaysia secara ad hoc.

Sejak 2008, IEEE EPS Malaysia menganjurkan siri Persidangan Teknologi Pembuatan Elektronik Antarabangsa (IEMT) dan bengkel seperti Semiconductor Advanced Packaging Workshop, bergilir antara Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Simposium terbaharu pada 17 Okt 2025 menampilkan pakar antarabangsa terkemuka seperti Beth Keser dan Lee Teck Kheng sebagai penceramah utama. Ini menunjukkan komitmen berterusan IEEE EPS dalam memperkukuh jaringan global dan pembangunan bakat tempatan.

Siri IEMT 2024 terakhir juga mencatat penyertaan melebihi 600 peserta — menjadikannya salah satu platform profesional terpenting dalam bidang pempakejan elektronik dan semikonduktor di rantau ini.

Namun, kerana aktiviti IEEE EPS bersifat sukarela dan tidak berstruktur tetap, Malaysia memerlukan mekanisme kebangsaan seperti ICDC bagi memastikan penyebaran dan penggandaan teknologi dilakukan secara sistematik.

ICDC boleh berperanan sebagai pusat pemindahan ilmu, standardisasi proses dan latihan bagi mempercepat adaptasi teknologi canggih dalam kalangan industri dan institusi penyelidikan tempatan.

Penubuhan ICDC ini akan mengukuhkan pelaksanaan Fasa 1 NSS sebagai pemangkin utama bagi peralihan ke Fasa 2 dan Fasa 3 — sekali gus mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekosistem semikonduktor bernilai tinggi.

Sebagai kesimpulan, Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dengan inisiatif seperti ISM di India akan mewujudkan satu ekosistem menyeluruh yang menghubungkan dasar, industri dan bakat tempatan.

Jika dilaksanakan dengan efektif, Malaysia mampu beralih daripada sekadar pengeluar pemasangan kepada peneraju rantau dalam inovasi pempakejan dan reka bentuk cip semikonduktor, selaras dengan aspirasi NSS.

 

KS Siow adalah bekas pengerusi IEEE Electronics Packaging Society

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.