
Titahnya, inovasi yang benar-benar bermakna ialah yang memperkasa, memelihara, dan memanusiakan kehidupan.
“Setiap ciptaan dan idea baharu sama ada lahir dari universiti mahupun industri hendaklah tidak terpisah daripada tanggungjawab sosial dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan, Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin diiringi oleh Warisnya yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, kemajuan negeri dan negara bergantung kepada kerjasama erat antara semua pihak termasuk universiti, industri, dan komuniti.
“Universiti menyumbang ilmu dan penyelidikan, industri menawarkan kepakaran dan peluang, manakala komuniti menjadi penerima manfaat yang turut menyumbang perspektif dan keperluan sebenar rakyat.
“Sinergi ini selari dengan pendekatan ‘whole-of-government, whole-of-society’, yang menekankan pentingnya kerjasama menyeluruh antara semua pihak bagi memastikan dasar dilaksanakan dengan berkesan dan kesejahteraan negeri dan negara dapat dicapai secara menyeluruh dan inklusif.”
Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada 45 asnaf terpilih daripada anak kariah Padang Besar Selatan, Al-Hussain, dan Tok Kaya Tanjong Gelam.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan RM31,500.