Keluarga Malaysia teruji, namun banyak lagi perlu dilakukan, kata Ismail

Keluarga Malaysia teruji, namun banyak lagi perlu dilakukan, kata Ismail

Perdana Menteri Ismail Sabri merentas garis kepartian untuk mengembalikan kestabilan, demi Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri Yaakob pada hari kedua sebagai perdana menteri membuat kejutan dengan mengundang empat pemimpin pembangkang untuk menandatangani suatu memorandum persefahaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setahun pentadbiran Ismail Sabri Yaakob berlatarkan ekonomi yang sedang memulih daripada kesan pandemik Covid-19, dan badai ‘operasi ketenteraan’ Rusia di Ukraine ke atas rantaian bekalan sejagat.

Di halaman sendiri, lanskap diwarnai gerak-geri kumpulan-kumpulan politik – ditatap masyarakat yang semakin sinis atau pesimis, selepas tumbangnya pentadbiran terdahulu dan sebelum itu.

Setahun lalu, Ismail yang mewarisi masalah pentadbiran lepas memperkenalkan cogan Keluarga Malaysia. Kini, melewati suku kedua 2022, ekonomi mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 8.9%, menurut Bank Negara. Laporan sama juga menyatakan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat 2.8% dan 2.5%. Tambahnya, inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi.

“Politik yang tidak stabil membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan kesannya sudah tentu rakyat yang akan terkesan,” kata Ismail kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia, ketika ditanya apakah cabaran paling getir selepas setahun mentadbir.

Ismail pada hari kedua sebagai perdana menteri membuat kejutan dengan mengundang empat pemimpin pembangkang – Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Wilfred Madius Tangau – untuk menandatangani suatu memorandum persefahaman bagi mengembalikan kestabilan.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia,” katanya, yang kelihatan lega dapat menghasilkan ‘gencatan senjata’. “Maka keadaan politik dapat distabilkan.”

Ismail, yang juga naib presiden Umno, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Muhyiddin Yassin selepas Umno menarik balik sokongan kepada beliau pada 2021.

Muhyiddin sendiri menjadi perdana menteri pada 2020 dengan sokongan Umno-Barisan Nasional, PAS, parti-parti di Sabah dan Sarawak, dan beberapa Ahli Parlimen PKR – lalu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, yang hanya bertahan 22 bulan selepas menewaskan BN pada PRU14.

Ismail akui bukan mudah untuk meraih sokongan bagi usaha bersejarah itu, selepas berdekad-dekad penyokong masing-masing berseteru.

“Satu ketika dulu isu perkauman isu agama boleh dikatakan setiap hari. Hari-hari keluar dalam media sosial dan sebagainya, nampak ianya semakin berkurangan,” katanya.

“Bila kita menerima konsep Keluarga Malaysia, maka keharmonian dapat dicapai dengan lebih cepat.”

Bercakap mengenai ekonomi, Ismail berkata angka rasmi kini dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, perdagangan, dan pelaburan langsung asing adalah memberangsangkan.

Ismail bagaimanapun belum berpuas hati. “Banyak perkara lagi yang perlu kita lakukan”.

Beliau berkata peruncitan mencatatkan angka tertinggi tahun ini, tapi ramai rakyat mengadu tidak berkemampuan. Kadar pengangguran berkurangan kepada 3.8%, namun “kita tahu ramai rakyat kita yang masih menganggur”.

“Lebih penting bukan setakat pengangguran, tapi pendapatan yang diterima mungkin tak setimpal daripada kerja yang dilakukan,” tambahnya.

Perdagangan borong dan runcit mencatatkan rekod baharu pada Mei, dengan pertumbuhan 19.9% tahun ke tahun untuk merekodkan RM129.8 bilion – jualan tertinggi sejak 2013, menurut Jabatan Perangkaan.

Kadar pengangguran berkurangan kepada 3.8% pada Jun, dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 637,700 orang pada Mei – terendah sejak pandemik melanda, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed.

Malaysia juga dijangka akan mencapai unjuran pertumbuhan KDNK antara 5.3% hingga 6.3%, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Itu dari segi angka tetapi sebenarnya kita tahu, di bawah, orang miskin masih lagi, kesukaran itu masih terasa,” kata Ismail.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan prestasi para menterinya, Ismail meminta pengkaji melihat isu ini secara keseluruhan, dengan mengambil kira isu-isu yang “kita dapat selesaikan dengan baik”.

“Sekarang harga ayam dah turun. Minyak masak harga turun. Besi semakin turun. Kejayaan-kejayaan yang saya sebut dari segi ekonomi.

“Kita tengok kerajaan ini biar secara menyeluruh, bukan individu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.