Ismail Sabri mahu fokus kerja kebajikan, belum putus hala tuju politik

Ismail Sabri mahu fokus kerja kebajikan, belum putus hala tuju politik

Bekas perdana menteri itu berkata beliau kini banyak meluangkan masa menguruskan sebuah rumah anak yatim untuk membantu anak yatim akibat Covid-19.

ISMAIL SABRI
Ismail Sabri Yaakob melancarkan program Larian Keluarga Malaysia edisi kedua yang bakal berlangsung 15 Nov depan.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu menumpukan perhatian kepada kerja kebajikan dan belum memutuskan hala tuju politiknya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata beliau banyak meluangkan masa untuk membantu anak-anak yatim yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik Covid-19.

Katanya, dalam masa sama, beliau turut membantu pengurusan dua buah rumah anak yatim bagi memastikan kebajikan anak-anak ini sentiasa terbela.

“Jadi fokusnya lebih kepada menjaga kebajikan, politik ini bila-bila boleh diubah dan buat keputusan.

“Tunggulah kalau saya nak buat keputusan nanti, saya akan maklumkan,” katanya ditemui selepas melancarkan Larian Keluarga Malaysia 2025 hari ini.

Ismail Sabri yang juga pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata di bawah platform itu juga mereka membantu lebih 1,000 anak yatim Covid-19 yang tinggal bersama keluarga yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, sebahagian besar kanak-kanak itu berdepan kesukaran meneruskan persekolahan akibat masalah kewangan keluarga.

“Kita satu-satunya negara di dunia yang mewujudkan yayasan khas untuk membantu anak-anak yatim Covid supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa sehingga tamat pengajian di universiti,” katanya.

Selain peruntukan kerajaan, Ismail Sabri berkata YKM turut mengambil inisiatif sendiri untuk menambah dana seperti menganjurkan Larian Keluarga Malaysia yang diperkenalkan tahun lalu.

Program amal santai itu berlangsung pada 15 Nov di Padang Merbok, Kuala Lumpur itu menyasarkan 3,000 peserta.

Tiga kategori disediakan iaitu Family Run (3km), Fun Run (5km) dan Road Race (10km).

Peserta akan menerima beg, kemeja-T rasmi, medal penyertaan serta berpeluang menyertai cabutan bertuah.

Layari pautan ini untuk mendaftar dan ikuti saluran media sosial Larian Keluarga Malaysia bagi maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.