GSF: Ismail desak PBB, OIC dan AS bela nasib sukarelawan

GSF: Ismail desak PBB, OIC dan AS bela nasib sukarelawan

Bekas perdana menteri itu seru komuniti antarabangsa bangkit tentang tindakan Israel menahan anggota Global Sumud Flotilla dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

sumud flotilla
Sukarelawan dari Malaysia antara peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan ke Gaza. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa seluruh dunia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menyertai misi kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza, hari ini.

Beliau berkata penahanan sukarelawan itu membuktikan Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah menghalang bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita.

“Tindakan rejim apartheid Zionis ini juga merupakan penghinaan kepada masyarakat dunia yang telah bangkit dan berterusan mendesak Israel supaya menghentikan perang ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menekankan seluruh dunia perlu bersatu mengecam perbuatan Israel dan menunjukkan solidariti dengan Palestin.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob.

Ismail menggesa Amerika Syarikat (AS) yang selama ini dikenal sebagai pelindung Israel menggunakan kuasa dan pengaruhnya bagi memberi tekanan supaya sukarelawan GSF dibebaskan serta misi kemanusiaan dibenarkan ke Gaza.

Beliau turu menyeru komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), bangkit menekan Israel supaya segera membebaskan semua anggota flotilla tanpa syarat.

Beliau menekankan saluran bantuan ke Gaza mesti dijamin keselamatannya dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak.

“Suara solidariti bersama Palestin tidak akan pernah padam selagi kekejaman Israel tidak dihentikan,” katanya meminta rakyat Malaysia mendoakan sukarelawan tempatan dan antarabangsa supaya selamat kembali ke tanah air.

Sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Sehingga 7.50 pagi tadi (waktu Malaysia), 12 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza malam tadi.

Susulan itu, dilaporkan lima lagi rakyat Malaysia ditahan tentera Israel di perairan Gaza setakat 2 petang tadi, menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.