Akta ‘antiskodeng’ bela mangsa keganasan rumah tangga, kata aktivis

Akta ‘antiskodeng’ bela mangsa keganasan rumah tangga, kata aktivis

Aktivis berkata, pelaku gangguan dalam talian sebelum ini tidak dapat dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pindaan akta antihendap secara maya merupakan langkah proaktif untuk memastikan perlindungan lebih luas, khususnya bagi mangsa keganasan rumah tangga, kata aktivis Kamal Affandi Hashim.
PETALING JAYA:
Kumpulan aktivis berpendapat, akta antihendap secara maya dapat memperluaskan tindakan undang-undang yang tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Kanun Keseksaan (Akta 274), serta membela nasib mangsa keganasan rumah tangga.

Aktivis sosial, Kamal Affandi Hashim yang juga penganalisis jenayah menyifatkan pindaan akta itu yang menjadikan perbuatan menghendap secara maya satu kesalahan jenayah sebagai permulaan baik kerana dapat memperluaskan bidang undang-undang terhadap kesalahan itu.

“Sebelum ini, Akta 588 hanya terhad kepada larangan kandungan jelik ataupun penggunaan rangkaian tidak wajar, manakala Akta 274 pula mengenai kenyataan berkaitan agama, kaum dan juga ancaman.

“Jadi, mangsa tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta 588, sekiranya bekas pasangan mahupun orang lain melakukan gangguan dalam talian, sedangkan bidang penguatkuasaannya tidak sama,” katanya ketika dihubungi FMT.

Tambahnya, pindaan akta tersebut merupakan langkah proaktif untuk memastikan perlindungan lebih luas buat setiap individu di Malaysia, khususnya mangsa keganasan rumah tangga.

“Apabila wujudnya akta ini, ia amat membantu mangsa berkenaan, khususnya yang sedang menunggu keputusan permohonan perceraian di mahkamah.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Yu Ren Chung berkata, undang-undang “antiskodeng” secara maya amat diperlukan kerana perbuatan menghendap akan memudaratkan kehidupan seseorang individu.

“Ia boleh mendatangkan ketakutan dan kegentaran amat teruk. Menurut kajian 2021 oleh WAO dan Vase.ai, 1/3 rakyat Malaysia pernah mengalami ‘stalking’ sampai rasa takut, dan ia turut merangkumi 39% wanita.

“Akta ini seolah-olah mewujudkan satu perintah perlindungan terhadap mangsa keganasan rumah tangga bagi melarang pelaku mendekati mereka. Ini adalah elemen sangat penting.”

Bagaimanapun, Yu berkata, pindaan akta itu perlu diperincikan lagi dengan tempoh perintah perlindungan itu dilanjutkan, bukan hanya sepanjang proses siasatan dan perbicaraan kes tersebut.

Pada 4 Ogos lepas, pindaan Akta 574 bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai jenayah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mas Ermieyati Samsudin optimis rang undang-undang yang dijangka dibacakan kali kedua dan ketiga dalam Mesyuarat Ketiga mulai Oktober ini akan diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.