Kedutaan Malaysia di Jordan jumpa peguam bantu aktivis GSF

Kedutaan Malaysia di Jordan jumpa peguam bantu aktivis GSF

Kedutaan berkata ia bagi memastikan semua tahanan Malaysia mendapat perlindungan undang-undang yang adil.

Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan
Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan berkata ia sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang ditahan Israel. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan tahanan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.

Kedutaan itu berkata ia sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

“Pihak Kedutaan juga turut berhubung dengan negara-negara sahabat Asean di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” menurut notis konsular kedutaan yang di siarkan di laman Facebook kedutaan itu pada Jumaat.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Untuk pertanyaan lanjut, rakyat Malaysia boleh merujuk kepada pegawai-pegawai Kedutaan seperti berikut: Muhd Irfan Zulkurnain di talian +962793811135 dan Nur Najihah Md Abas di talian +962790800865, atau menghantar emel kepada Kedutaan Besar Malaysia, Amman di [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.