Suruhanjaya kesihatan wajar dibangunkan, kata pakar kesihatan

Suruhanjaya kesihatan wajar dibangunkan, kata pakar kesihatan

Ia bagi membolehkan akses kepada dana yang perlu, mengurangkan karenah birokrasi serta menangani isu penyelewengan pengamal kesihatan serta imbuhan dengan lebih berkesan.

Pakar kesihatan berkata suruhanjaya kesihatan mampu bergerak lebih pantas dan diberi autonomi untuk membuat beberapa keputusan dari segi hala tuju dan dasar kerajaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah suruhanjaya kesihatan perlu dibangunkan bagi membolehkan akses kepada dana yang perlu, mengurangkan karenah birokrasi serta menangani isu penyelewengan pengamal kesihatan serta imbuhan dengan lebih berkesan, kata seorang pakar kesihatan.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Azman Abu Bakar berkata, isu penubuhan suruhanjaya kesihatan bukanlah perkara baharu, dan suruhanjaya sedemikian seharusnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

“Kita boleh bergerak lebih pantas sekiranya tiada masalah red-tape. Saya harap suruhanjaya kesihatan ini tidak dipisahkan terus daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebaliknya diberi autonomi untuk membuat beberapa keputusan sebagai penasihat dari segi hala tuju dan dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel penceramah pada hari kedua Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022: The Future of Our Healthcare’ – Kertas Putih Kesihatan.

Merujuk kepada harapannya berhubung Kertas Putih Kesihatan mengenai peruntukan sumber manusia, Azman berkata, pengamal perubatan perlu nekad dan cukup berani untuk berfikir di luar kotak, bagi memastikan pandangan mereka berhubung isu-isu sumber manusia dalam perkhidmatan kesihatan didengar.

Sementara itu Dr Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya yang senada dengan Azman dalam merujuk kepada penubuhan suruhanjaya itu berkata, dari segi sumber manusia, aspek latihan petugas adalah perkara penting.

“Kita perlu meningkatkan jumlah (tenaga kerja), kualiti, dan membangunkan sistem, memandangkan corak latihan semasa boleh ditingkatkan dalam pelbagai cara, terutama menerusi pendanaan,” katanya.

Beliau berkata, suruhanjaya kesihatan perlu mengandungi jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh seorang menteri, atau perdana menteri sendiri, sebagaimana yang dilakukan Indonesia yang menyaksikan suruhanjaya itu dipengerusikan oleh presidennya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.