PRU15: Wan Saiful mahu tanding di Kubang Pasu

PRU15: Wan Saiful mahu tanding di Kubang Pasu

Ketua penerangan Bersatu berkata beliau bersedia namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan.

Pada PRU14 Wan Saiful Wan Jan tewas di Parlimen Pendang kepada calon PAS, Awang Hashim dalam pertembungan empat penjuru termasuk calon Barisan Nasional dan bebas.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyatakan hasrat bertanding di Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas calon Bersatu Parlimen Pendang pada PRU14 itu bersedia untuk bertanding namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Sebagai ahli Bersatu di Kubang Pasu, saya akan bantu jentera di Kubang Pasu dan sudah tentu minat saya di Parlimen itu.

“Bagaimanapun, keputusan akhir perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana mereka mungkin mempunyai calon yang lebih baik daripada saya sendiri,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kerusi Parlimen itu sebelum ini dimenangi Amiruddin Hamzah yang bertanding atas tiket Bersatu sebelum meninggalkan parti dan menyertai Pejuang.

“Apabila beliau (Amiruddin) pergi ke Pejuang, maka kerusi itu sepatutnya dikekalkan sebagai kerusi Bersatu.

“Walaupun begitu, penentuan calon di Parlimen akan dibincangkan dengan PAS serta rakan daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Pada PRU14, Wan Saiful tewas di Parlimen Pendang kepada calon PAS, Awang Hashim dalam pertembungan empat penjuru termasuk calon Barisan Nasional (BN) dan bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.