Wanita maut dirempuh van langgar lampu merah

Wanita maut dirempuh van langgar lampu merah

Mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad dirempuh sebuah van Thailand yang melanggar lampu isyarat merah di Napoh, dekat Kubang Pasu.

wanita maut van langgar lampu isyarat
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas dirempuh van dipandu lelaki Thailand, malam tadi. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah van Thailand yang melanggar lampu isyarat merah di Napoh, dekat Kubang Pasu malam tadi.

Ketua Polis Kubang Pasu, Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Polis menerima maklumat berkaitan kes kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah van kira-kira 10.30 malam. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu van lelaki warga Thailand berusia 60 tahun yang dalam perjalanan menuju ke Satun, Thailand tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

“Van itu kemudiannya melanggar motosikal dinaiki mangsa yang datang dari simpang sebelah kiri. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk proses bedah siasat manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu van itu telah ditahan untuk siasatan dan saringan awal air kencing mendapati beliau negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di laman media sosial berhubung kejadian sebuah motosikal dilanggar sebuah van yang tidak berhenti ketika lampu merah di persimpangan lampu isyarat di Napoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.