MCA sah tanding PRN Sabah

MCA sah tanding PRN Sabah

MCA Sabah berkata jumlah kerusi dan kawasan bakal ditandingi akan diumumkan pemimpin BN apabila tiba masa.

Pengerusi MCA Sabah Teah Heok Kuin menjangkakan tiada pertindihan kerusi antara BN dan PH jika proses rundingan dicapai dengan baik. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA mengesahkan akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah 29 Nov ini.

Pengerusi MCA Sabah, Teah Heok Kuin, bagaimanapun berkata jumlah kerusi dan kawasan bakal ditandingi akan diumumkan pemimpin BN apabila tiba masa, memandangkan rundingan melibatkan beberapa kawasan termasuk bersama Pakatan Harapan (PH) masih berjalan.

“Yang pasti MCA Sabah akan bertanding dalam PRN dan diberi kerusi mewakili BN…perkara itu disahkan pemimpin BN Sabah (Bung Moktar Radin), cuma jumlahnya nanti pucuk pimpinan akan umumkan bila ia sudah muktamad,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menjangkakan tiada pertindihan kerusi antara BN dan PH jika proses rundingan dicapai dengan baik.

Sebelum ini, MCA Sabah menyasarkan bertanding enam kerusi, sekali gus menepis dakwaan parti itu mahu menarik diri daripada bertanding.

Antara kerusi disasarkan adalah Kapayan, Likas, Karamunting, Elopura, Segama dan Tanjong Kapor.

Teah berkata, sasaran bertanding enam kerusi itu dibuat jika BN bertanding solo, sambil menjelaskan keadaan akan berubah jika terdapat kerjasama dengan gabungan lain.

Pada PRN lalu, MCA yang mewakili BN bertanding di empat DUN iaitu Kapayan, Likas, Karamunting, Elopura tetapi kalah di semua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.