‘Serbuan’ ADUN Titi Serong, polis tahan 3 lelaki disyaki terbabit judi dalam talian

‘Serbuan’ ADUN Titi Serong, polis tahan 3 lelaki disyaki terbabit judi dalam talian

Semalam, tular di media sosial susulan tindakan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, yang 'menyerbu' satu premis dipercayai melakukan aktiviti judi dalam talian.

Tangkap layar memaparkan ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, menyerbu sebuah premis di kawasan Tanjung Piandang, Bagai Serai, yang dipercayai menjalankan aktiviti judi dalam talian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian, di kawasan Tanjung Piandang, di Bagan Serai, semalam.

Ketua Polis Kerian Mazuki Mat, berkata serbuan itu dilakukan ekoran susulan satu klip video tular di laman sosial yang memaparkan terdapatnya aktiviti judi dalam talian.

“Susulan video yang tular itu, polis Perak dan Kerian telah melakukan serbuan ke atas dua lokasi yang disyaki di kawasan tersebut.

“Serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun, manakala dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 32 tahun berjaya ditahan pada serbuan di lokasi kedua,” katanya menurut Kosmo.

Semalam, tular di media sosial susulan tindakan ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, yang ‘menyerbu’ satu premis yang dipercayai melakukan aktiviti judi dalam talian.

Mazuki ketika mengulas lanjut, berkata sejak Januari 2021, sebanyak 351 serbuan dilakukan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

“Dari jumlah tersebut, 80 serbuan telah dilakukan di kawasan Tanjung Piandang dan sebanyak empat kali ke atas premis seperti di dalam klip video yang tular itu,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga lelaki yang ditangkap itu kini direman di lokap Balai Polis Bagan Serai dan kes disiasat dibawah Seksyen 4(1)(C)Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.