
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, operasi khas itu dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM pada 23 Okt lalu.
Menurutnya, operasi itu turut dibantu CPF dari Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang menyerbu enam premis terbabit membabitkan rampasan 402 jenis ubat tidak berdaftar, termasuk produk keluaran luar negara dipercayai diperoleh daripada pembekal tidak sah untuk dijual di pasaran tempatan.
Katanya, antara ubat dirampas termasuk bahan perangsang seks (Sildenafil), antibiotik (Tetracycline dan Amoxicillin), steroid (Dexamethasone), pil kontraseptif (Ethinylestradiol/Levonorgestrel) dan antihistamin (Chlorpheniramine), tetapi tiada tangkapan dilakukan.
“Penjualan dan pemilikan ubat tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
“Tindakan ini sebahagian usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar di pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin,” katanya menurut Sinar Harian.
KKM menasihatkan orang ramai menyemak status pendaftaran ubat melalui pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran ubat (MAL) sebelum membelinya.
Ia berkata, semakan boleh dilakukan di www.npra.gov.my atau menghubungi talian 03-7883 5400.
“Orang ramai juga digalak menyalurkan maklumat atau aduan ubat meragukan melalui http://moh.spab.gov.my, mana-mana CPF berdekatan atau hubungi talian 03-7841 3200.”
Sebagai langkah kesedaran awam, katanya, kempen Tolak Ubat Tidak Sah yang dilancarkan sejak 2024 terus diperkasa dalam usaha membanteras pembekalan dan penjualan ubat tidak sah dalam negara. Maklumat lanjut kempen itu boleh diperoleh di https://pharmacy.moh.gov.my/tobats.