‘Serbu’ Masjid Rusila: Apa yang terjadi, apa yang tidak?

‘Serbu’ Masjid Rusila: Apa yang terjadi, apa yang tidak?

Pada 22 Oktober lalu, Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung satu latihan yang dikatakan dijalankan oleh APMM.

Mohsin Abdullah

Rasanya ramai sudah tahu akan kisah ini namun to put in context artikel ini saya imbau kembali. Pada Rabu 22 Oktober lalu di Parlimen, Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung satu latihan yang dikatakan dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia atau APMM.

Menurut beliau, latihan diadakan pada 29 September lalu di Masjid Rusila, Marang Terengganu. Takiyuddin mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki masjid berkenaan tanpa kebenaran.

“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada di situ mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, memasuki kawasan (solat) perempuan dan melakukan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang di kalangan rakyat yang berada di situ.”

Berkata lagi Takiyuddin di Parlimen pada hari Rabu itu: “Apabila pihak pengurusan masjid membuat laporan polis di balai polis Marang, satu dokumen daripada APMM ditemui bertajuk ‘Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan (SERE) Kursus Asas Komando Star Team Seri 1/2025’ disebutkan di sini apa yang berlaku itu adalah latihan komando APMM dalam sebuah masjid, tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid. Apa ini?”

Pada hari sama Rabu 22 Oktober, APMM menafikan dakwaan bahawa pasukan elitnya mengadakan latihan di Masjid Rusila. Ketua Pengarah Rosli Abdullah dipetik Malaysiakini berkata masjid itu hanyalah lokasi persinggahan bagi para pelatih menunaikan kewajipan agama sebelum melaksanakan tugasan seterusnya.

“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” kata beliau dalam kenyataan.

Bagaimanapun pada 23 Oktober, FMT melaporkan Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan menerima sebarang permohonan atau makluman daripada APMM, yang juga dikenai sebagai Maritim Malaysia.

Kata pengerusi jawatankuasa Mohd Azri Abdul Aziz, polis mengesahkan Maritim Malaysia tidak menjalankan sebarang aktiviti di situ pada tarikh tersebut “justeru pihak masjid telah mengambil keputusan membuat laporan polis”.

Kata beliau: “setelah itu barulah kami menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia”.

Berbalik kepada kenyataan ketua pengarah APMM yang dikeluarkan sehari sebelum kenyataan jawantakuasa Masjlid Rusila. Rosli turut mengulas isu laporan polis, katanya ia telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku. Aspek ‘salah faham’ juga disebut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution keesokan hari (23 Oktober).

Kata beliau, dakwaan anggota APMM menyerbu Masjid Rusila pada 19 September hanyalah salah faham dan kes itu telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

“Janganlah melebih-lebihkan satu program yang bertujuan melahirkan pasukan elit tanpa meneliti fakta sebenar. Perkara ini telah diurus dengan baik bulan lepas namun tiba-tiba diberi gambaran seolah-olah berlaku serbuan komando masuk ruang solat dengan memakai kasut sedangkan perkara ini amat sensitif,” kata Saifuddin.

Rosli pula berkata, “Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi”.

Pun begitu menteri mahupun ketua pengarah tidak menghuraikan apa salah faham yang mereka maksudkan. Adakah latihan dijalankan tetapi disalah faham sebagai serbuan oleh penduduk kawasan masjid atau tidak ada latihan diadakan di masjid? Jadi apa dan siapa yang salah faham?

Jika memang ada salah faham, adakah tindakan telah diambil ke atas pihak yang mengakibatkan salah faham tercetus, dan langkah diambil agar salah faham tidak berlaku pada masa depan?

Apa pun ‘salah faham’ telah memberi bahan kepada Takiyuddin untuk ‘menyerang’ kerajaan kerana APMM adalah agensi keselamatan bawah Kementerian Dalam Negeri.

Cuma ada yang pelik. Latihan Maritim Malaysia dikata diadakan pada 19 September menurut Saifuddin, manakala Takiyuddin kata 29 September. Apa pun tarikhnya jangka masa lama sebelum Takiyuddin bawa ke Parlimen. Mengapa?

Yang menyedihkan Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS mengaitkan insiden salah faham di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali. Peristiwa Memali merujuk tragedi berdarah pada 19 November 1985 ketika polis cuba memberkas pemimpin PAS, Ibrahim Mahmud, dan pengikutnya menyaksikan 14 penduduk Kampung Memali di Kedah terbunuh. Turut terkorban empat anggota keselamatan.

Adakah ini bertujuan menakutkan atau meniup sentimen jemaah Masjid Rusila dan penduduk berdekatan atau keseluruhan keanggotaan PAS? Atau mencari simpati orang Melayu (baca: pengundi)?

Lebih keterlaluan ialah tindakan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim apabila beliau bertanya, “apakah ini perancangan untuk membunuh presiden PAS yang ada di Masjid Rusila?”

Saya kira Takiyuddin sendiri tergamam dengan kata-kata rakannya itu. Beliau menolak membuat andaian sedemikian tetapi kekal mempersoalkan mengapa latihan seumpama itu mesti diadakan di Rusila dan bukannya lokasi latihan khas agensi maritim.

Sehari kemudian di luar Parlimen, beliau bercakap dengan pemberita mendakwa berlaku “aktiviti mencuriga di Masjid Rusila termasuk pelbagai andaian terhadap keselamatan YB Ahli Parlimen Marang (Hadi Awang)”.

Kediaman Hadi terletak berhampiran Masjid Rusila dan beliau selalu bertazkirah di masjid. Tidak hairan ramai orang luar menamakan masjid itu ‘masjid Hadi’.

Pada hemat saya, apa juga strategi Takiyuddin dan Awang Hashim, tindakan mereka bagai melempar tuduhan liar ke atas anggota keselamatan yang boleh mengguris perasaan mereka.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.