Campur dadah dalam minuman herba, 2 ditahan berkait sindiket

Campur dadah dalam minuman herba, 2 ditahan berkait sindiket

Polis turut rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM251,000 dalam serbuan di sebuah apartment di KL minggu lepas.

Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman tunjuk minuman herba dicampur MDMA yang dirampas dalam serbuan di KL minggu lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan dalam serbuan di ibu negara minggu lepas kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis MDMA yang dicampurkan dalam minuman herba.

Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam serbuan di sebuah apartment di Jalan Yap Kwan Seng kira-kira 10.20 malam Khamis lepas, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM251,000.

“Antara yang dirampas ialah 503 botol cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 239.5kg, 298g serbuk MDMA, 20g dadah jenis Erimin 5 dan 19.6g ketamin,” katanya menambah, dadah yang dirampas dijangka boleh digunakan oleh 3,631 penagih.

Tambahnya, polis turut menyita dua kenderaan bernilai RM50,000 dan wang tunai RM140 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah, dengan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM301,140.

Sulizmie Affendy berkata, dua suspek berusia 30 dan 32 tahun itu didapati positif ketamin, selain seorang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek pertama (berusia 30 tahun) direman hingga 30 Sept manakala suspek kedua berusia 32 tahun direman hingga 2 Okt bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini, menyasarkan pasaran pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

Katanya, sindiket itu dipercayai menyewa rumah melalui aplikasi dalam talian sebagai lokasi pemprosesan dadah.

“Kedua-dua individu yang ditahan bertindak sebagai penghantar dan dibayar kira-kira RM100 bagi setiap penghantaran.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi masih giat memburu saki baki anggota sindiket yang masih bebas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.